Ahmad Zulqarnain Onn Dilantik Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Yang Baharu
KWASA DAMANSARA, 26 Januari 2024: Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan Encik Ahmad Zulqarnain Onn sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) KWSP berkuatkuasa 19 Februari 2024.
Encik Ahmad Zulqarnain, yang sebelum ini menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, akan menggantikan YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang telah dilantik sebagai Menteri Kewangan II selepas mengetuai KWSP sejak 1 Mac 2021.
Encik Ahmad Zulqarnain mempunyai pengalaman korporat yang luas di mana beliau telah memegang beberapa jawatan penting dalam institusi seperti Danajamin Nasional Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, dan Khazanah Nasional Berhad sebagai Timbalan Pengarah Urusan sebelum dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada Julai 2020. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Harvard.
Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, “KWSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah atas khidmat beliau dalam melakar hala tuju kejayaan KWSP. Pada masa yang sama, kami ingin mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Encik Ahmad Zulqarnain atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang baharu. Dengan pengalaman korporatnya yang luas, kepimpinan beliau yang dinamik bakal memacu KWSP ke tahap baharu.”
Beliau menambah bahawa seluruh pasukan KWSP akan memastikan peralihan yang lancar dan meletakkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan dan hala tuju strategik Encik Ahmad Zulqarnain dalam memenuhi misi KWSP untuk melindungi masa depan persaraan dan kesejahteraan 15.9 juta ahli KWSP.
Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
26 Januari 2024
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.