Tarikh: 31 Mei 2024
Selamat Datang Ke Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2024 (ISWC 2024)!

ISWC merupakan persidangan tahunan yang mencetuskan perbincangan mengenai perlindungan sosial, dengan menghubungkan orang awam, pemain industri, ahli akademik, dan penggubal dasar dengan pakar-pakar antarabangsa untuk memahami trend, cabaran, dan penyelesaian inovatif dalam landskap perlindungan sosial.

Tahun ini, dengan tema "Ageing and Longevity: Towards a Meaningful Retirement", ISWC 2024 akan memberi tumpuan kepada penuaan penduduk dan persaraan, terutamanya dalam memastikan keselamatan pendapatan bagi warga emas. Persidangan ini akan membincangkan kesan penuaan penduduk ke atas produktiviti dan ekonomi negara, menerokai dasar dan infrastruktur untuk menyokong kesejahteraan hidup warga emas, serta menilai ketersediaan Malaysia dalam menghadapi perubahan demografi ini, terutamanya dari segi keselamatan pendapatan, kesejahteraan mental, dan gaya hidup yang lebih sihat.

Dengan membawa bersama pakar, penggubal dasar, dan pihak berkepentingan dari pelbagai latar belakang, peserta akan berpeluang untuk meneroka pendekatan inovatif, mengambil tindakan proaktif, dan mempengaruhi arah dasar untuk meningkatkan kesejahteraan warga tua, keluarga, dan masyarakat secara keseluruhan.

Sertai kami dalam merintis jalan ke arah masa depan di mana setiap individu dapat hidup dan menua dengan baik dan bermaruah!

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan dana simpanan persaraan utama Malaysia yang membantu ahlinya mencapai simpanan yang mencukupi untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, dan misinya untuk melindungi simpanan ahli dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang. KWSP telah beralih daripada berpaksikan transaksi kepada sebuah pengurusan dana profesional berfokuskan keselamatan persaraan. KWSP dipacu oleh rangka kerja tadbir urus yang teguh dan profesional dalam keputusan pelaburannya. KWSP terus memangkin pertumbuhan ekonomi negara dan memupuk budaya menabung dan pelaburan di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan negara.