Tarikh: 17 Jun 2025
KWSP Perkukuh Agenda Usia Panjang Di Malaysia Seiring Pelancaran Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2025 Oleh Perdana Menteri

KWASA DAMANSARA, 17 Jun 2025: YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hari ini telah merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kehadiran Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Zulqarnain Onn, Menteri-Menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan, serta ahli Lembaga dan Panel Pelaburan KWSP.

Persidangan edisi ke-12 tahun ini bertemakan “Living to a Hundred: Are We Prepared?”, mencerminkan keperluan mendesak untuk menangani kesan peningkatan jangka hayat terhadap persaraan, penjagaan kesihatan, dan ekonomi secara keseluruhan. ISWC 2025 membincangkan pendekatan untuk mendepani realiti baharu jangka hayat lebih panjang dengan menilai semula persaraan dan jaminan kewangan; menjadikan penuaan penduduk sebagai pemacu ekonomi melalui inovasi dan peralihan tenaga kerja; membentuk dasar dan strategi untuk masa depan yang lebih berdaya tahan dan mampan; serta menggalakkan kerjasama antara generasi bagi membina masyarakat yang maju dan inklusif. Persidangan dua hari ini menghimpunkan lebih daripada 850 delegasi secara fizikal serta 730 secara atas talian, dan turut dijayakan bersama lebih 20 rakan kongsi daripada pelbagai industri, dan 25 penceramah terkemuka dari seluruh dunia.

ISWC 2025 merupakan anjuran bersama antara KWSP, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), dan Kementerian Kewangan (MOF). Matlamat persidangan ini adalah untuk mencetuskan idea dalam penggubalan dasar berkaitan ekonomi usia panjang (longevity economy), yang merupakan satu pemacu transformatif terhadap cara masyarakat bekerja dan menua dengan lebih bermakna. 

Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, “ISWC 2025 bertujuan untuk mencetuskan perbincangan mengenai jangka hayat yang semakin panjang dan memastikan populasi yang semakin menua tidak dilihat sebagai satu cabaran, tetapi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial.”

“Jangka hayat yang lebih panjang membuka sempadan baharu dan ruang inovasi menerusi kemunculan ekonomi usia panjang yang didorong oleh sumbangan produktif, penggunaan, dan pengalaman golongan lebih berusia. Perkembangan ini tidak terhad kepada persaraan dan penjagaan kesihatan tetapi turut merangkumi cara kita merancang bandar, membentuk tenaga kerja, membangunkan teknologi yang inklusif, serta memupuk pembelajaran sepanjang hayat dan gaya hidup menua yang aktif,” tambah beliau.

Pada tahun 2024, sebanyak 7.7% rakyat Malaysia adalah berumur 65 tahun dan ke atas, dan peratusan ini dijangka meningkat kepada 14% menjelang tahun 2043, menandakan peralihan Malaysia kepada status negara tua. Peralihan ini membawa cabaran dan peluang untuk merangka semula ekonomi, kesihatan dan sosial bagi menyokong kehidupan yang lebih panjang dan sihat. Penambahbaikan dasar dan intervensi strategik amat penting bagi memastikan ketersediaan generasi muda menghadapi cabaran jangka hayat yang lebih panjang, memperkasa warga emas agar dapat menjalani kehidupan yang bermakna dan berdikari, serta mengoptimumkan sumbangan setiap generasi ke arah pembangunan negara yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Bagi menghadapi cabaran ini, KWSP giat melaksanakan penambahbaikan sistem persaraan serta memperkenalkan inovasi kewangan yang bersesuaian. Pada Disember 2024, KWSP telah memperkenalkan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) yang membolehkan ahli menilai tahap kesediaan persaraan mereka berdasarkan tiga peringkat: Asas, Mencukupi dan Dipertingkat. Kemudahan pemindahan simpanan antara generasi seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 akan membenarkan ahli memperuntukkan sebahagian daripada simpanan mereka untuk menyokong persaraan ahli keluarga.

KWSP juga memperkukuh sokongan kepada pekerja sektor informal melalui program i-Saraan yang kini menawarkan insentif padanan kerajaan sebanyak 20%, dihadkan kepada RM500 setahun dan RM5,000 sepanjang hayat. Pada tahun 2024, bilangan pencarum sukarela meningkat sebanyak 32% kepada 1.2 juta pencarum. Lebih 800,000 orang atau hampir 70% daripada jumlah tersebut, merupakan individu di luar sektor pekerjaan formal, termasuk pekerja gig dan mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal, dengan jumlah caruman sebanyak RM13.7 bilion. Daripada jumlah tersebut, lebih 520,000 ahli telah mencarum melalui program i-Saraan, dengan jumlah caruman keseluruhan sebanyak RM2.6 bilion.

“Kami menyedari bahawa kecukupan persaraan mesti dibina berasaskan gaji yang adil dan penyertaan yang inklusif. Oleh itu, semua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, termasuk KWSP, telah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar dan kami akan terus bekerjasama dengan syarikat-syarikat pelaburan kami untuk menggalakkan pekerjaan yang bermaruah sebagai asas kepada kemakmuran jangka panjang,” kata Tan Sri Mohd Zuki.

Memacu kesejahteraan sosial melalui Komitmen Kelestarian untuk generasi masa hadapan

Sempena persidangan ini, KWSP akan melancarkan Komitmen Kelestarian (Komitmen)—satu langkah penting dalam memperkukuh usaha berterusan KWSP untuk menerajui pelaburan kelestarian dan menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi setiap aspek operasi dan strategi pelaburannya. Menyedari bahawa keselamatan persaraan perlu melalui pertimbangan kelestarian bagi memastikan pertumbuhan yang berdaya tahan, Komitmen ini mencerminkan pendekatan berprinsip dan pragmatik, berteraskan tiga tonggak kelestarian: Pemeliharaan Kelestarian Alam Sekitar; Impak Sosial; serta Budaya dan Tadbir Urus.

Selaras dengan Komitmen ini, KWSP turut melaksanakan penambahbaikan strategik terhadap polisi-polisi Pelaburan Lestari (Sustainable Investment) bagi mengukuhkan aspirasi baharu organisasi serta menyelaraskan semula jangkaan KWSP terhadap syarikat pelaburan. Polisi-polisi pelaburan yang telah dikemaskini semula merangkumi Polisi Pelaburan Lestari, Polisi Perubahan Iklim, Polisi Kesejahteraan Pekerja dan Polisi Sektor Keutamaan yang telah mula diperkenalkan pada tahun 2022, serta Polisi Sustainable Investment Stewardship yang diperkenalkan pada tahun 2024. Penambahbaikan ini turut mempertingkatkan amalan tadbir urus, serta sejajar dengan rangka kerja kelestarian di peringkat nasional dan global. 

Pelancaran Komitmen Kelestarian KWSP mencerminkan penjajaran menyeluruh KWSP dengan kerangka Ekonomi MADANI, khususnya dalam menyokong usaha meningkatkan taraf hidup rakyat dan menggalakkan pertumbuhan yang inklusif. Komitmen ini juga sejajar dengan aspirasi pelepasan sifar bersih Malaysia dan menyumbang ke arah masa depan negara yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Pada tahun ini, ISWC menampilkan tokoh-tokoh global dan pemikir terkemuka, termasuk Fredrik Reinfeldt, bekas Perdana Menteri Sweden; Guy Standing, ahli pengasas dan pengerusi bersama kehormat Basic Income Earth Network; Haleh Nazeri, Ketua Longevity Economy di Forum Ekonomi Dunia; serta Tan Sri Jemilah Mahmood, Pengarah Sunway Centre for Planetary Health.

Selain sesi pleno, ISWC 2025 turut menawarkan pengalaman interaktif seperti gamifikasi, kios KWSP dan reruai rakan kongsi termasuk BNY, Principal Asset Management, Nomura Asset Management dan Amundi. Layari www.iswc.kwsp.gov.my untuk maklumat lanjut.


Dikeluarkan oleh 
Unit Editorial and Media Relations 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
17 Jun 2025

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan tujuan untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.