KWSP Perkukuh Pelaburan Mampan Dengan Polisi Pengawasan Baharu
KWASA DAMANSARA, 17 Julai 2024: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menerbitkan Polisi Pengawasan Pelaburan Mampan KWSP, menjadikannya pelabur institusi pertama di Malaysia yang menerbitkan polisi pengawasan kendiri untuk pelaburan mampan. Polisi ini menetapkan proses dan garis panduan yang dipatuhi oleh KWSP untuk menggalakkan amalan kemampanan yang baik dalam kalangan syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana luaran.
Langkah pengawasan ini mengukuhkan komitmen KWSP dalam membantu membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia dengan memberikan nilai mampan jangka panjang. Ini sejajar dengan Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab (PRI1) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang mentakrifkan pengawasan sebagai pelabur institusi yang menggunakan pengaruh mereka untuk memaksimumkan nilai jangka panjang keseluruhan, merangkumi aset ekonomi, sosial dan alam sekitar yang penting untuk pulangan dan kepentingan pelanggan dan benefisiari.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Encik Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “Kami percaya pelaburan mampan adalah asas kepada mencipta nilai jangka panjang buat Malaysia. Sebagai pelabur institusi yang bertanggungjawab, kami komited untuk menerajui prinsip ini dengan mempromosi dan menanamkan amalan perniagaan yang baik secara sistematik yang menerapkan faktor Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG2) ke dalam semua keputusan pelaburan.
“Komitmen pengawasan ini mempercepatkan progres KWSP ke arah mencapai portfolio patuh ESG sepenuhnya menjelang 2030 dan portfolio neutral iklim menjelang 2050. Kami menyasarkan untuk memperkasa syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana luaran kami untuk menjana impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar, menumpukan keperluan semua pihak berkepentingan di samping memaksimumkan pulangan risiko terlaras peringkat portfolio.”
Sebagai pelabur institusi terbesar di Malaysia, KWSP mengambil peranan kepimpinan untuk mempengaruhi pelaksanaan amalan kemampanan yang baik dalam pasaran modal di Malaysia, sama ada secara individu atau kolaboratif melalui platform seperti Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC3).
Polisi Pengawasan Pelaburan Mampan KWSP merangkumi pendekatan terhadap bidang pengawasan utama, seperti pemantauan, penglibatan dan pilihan peningkatan dalam usaha untuk menyelaraskan syarikat-syarikat dengan polisi pelaburan mampannya dan menambah baik pengurusan risiko dan peluang yang material berkaitan ESG. Falsafah pengawasan KWSP tertumpu pada empat aktiviti utama, iaitu pengundian proksi, pemantauan, penglibatan aktif dan inisiatif kolaboratif.
Pengawasan Pelaburan Selaras dengan Kod Global dan Tempatan
Komitmen pengawasan KWSP diperkukuh dengan keahliannya dalam beberapa kod berasaskan prinsip yang memerlukan KWSP menjadi pemilik aktif dan menyepadukan pertimbangan kemampanan ke dalam polisi dan amalan pemilikannya:
i. Sebagai sebuah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan di Malaysia, KWSP mematuhi Piawaian Pelaburan Mampan (SIS4) yang dilancarkan pada Mei 2023;
ii. KWSP telah menjadi penandatangan Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab (PRI) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak April 2019;
iii. KWSP telah menjadi penandatangan Kod Malaysia bagi Pelabur Institusi (MCII5) sejak Januari 2017.
Susulan itu, pembangunan Polisi Pengawasan Pelaburan Mampan KWSP telah mengambil kira prinsip yang digariskan dalam kod pengawasan tempatan dan global seperti Kod Malaysia bagi Pelabur Institusi (MCII) dan Prinsip Pengawasan Global Rangkaian Tadbir Urus Korporat Antarabangsa (ICGN6). Tambahan pula, Polisi ini bergantung kepada dan dipandu oleh polisi dan proses berkaitan ESG KWSP, khususnya Prinsip Tadbir Urus Korporat dan Garis Panduan Pengundian KWSP dan Polisi Pelaburan Mampan KWSP.
Pada 2010, KWSP menjadi pelabur institusi pertama di Malaysia yang melancarkan Prinsip Tadbir Urus Korporat dan Garis Panduan Pengundian untuk memaklumkan kepada orang ramai, pelabur dan syarikat mengenai garis panduan pengundian KWSP. Pada Mac 2022, KWSP melancarkan Polisi Pelaburan Mampan, Polisi Isu Keutamaan dan Polisi Sektor Keutamaan untuk membimbing KWSP dalam membuat keputusan pelaburan yang lebih termaklum dan holistik dengan mengintegrasikan pertimbangan ESG dalam proses pengurusan pelaburannya.
Untuk maklumat lanjut, Polisi Pengawasan Pelaburan Mampan KWSP boleh didapati di laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.
Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
17 Julai 2024
1 Principles for Responsible Investment (PRI)
2 Environmental, Social, and Governance
3 Institutional Investors Council (IIC)
4 Sustainable Investment Standards (SIS)
5 The Malaysian Code for Institutional Investors (MCII)
6 International Corporate Governance Network (ICGN)
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.