Date: 15 Apr 2023
Lebih 74,000 Permohonan Diterima Di Bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2

KWASA DAMANSARA, 15 April 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa setakat 14 April 2023, sebanyak 74,392 permohonan telah diterima di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), dengan 34,643 daripadanya adalah permohonan yang layak dengan jumlah RM722 juta.

 

Fasiliti ini disediakan oleh KWSP bagi membolehkan ahli KWSP membuat permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau Umur 55 Tahun dalam mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang mengambil bahagian, iaitu MBSB Bank melalui kemudahan patuh Syariah Ihsan-i mulai 7 April 2023; dan Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui BSN MyRinggit Insan-i bermula 14 April 2023. Permohonan akan dibuka selama setahun, membolehkan ahli KWSP mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau Umur 55 Tahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “KWSP menjangkakan jumlah permohonan untuk FSA2 akan terus meningkat, lebih-lebih lagi kini BSN melancarkan BSN MyRinggit Insan-i hari ini. Kami berbesar hati kerana kedua-dua MBSB Bank dan BSN menyokong Fasiliti Sokongan Akaun 2, yang kami percaya akan membantu ahli yang mempunyai isu kecairan tunai untuk mendapatkan pembiayaan peribadi tanpa impak yang serius terhadap simpanan persaraan mereka.”

 

“Kami difahamkan terdapat kekeliruan di kalangan sebilangan ahli KWSP berhubung keperluan pembayaran balik bulanan pembiayaan peribadi ini. Kami ingin menjelaskan bahawa fasiliti ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong oleh pendapatan yang berpatutan untuk memastikan mereka mampu membiayai pembiayaan peribadi tersebut dan komited kepada pembayaran balik bulanan tanpa menjejaskan kecukupan dan jaminan pendapatan persaraan mereka. Perlu diingatkan bahawa bayaran balik bulanan adalah perlu untuk memastikan pinjaman dibayar tepat pada masanya,” tambah beliau.

 

Jumlah kelayakan untuk pembiayaan peribadi ini adalah berdasarkan jumlah simpanan dalam Akaun 2, dengan jumlah pembiayaan minimum sebanyak RM3,000 dan maksimum RM50,000. Ahli boleh membuat permohonan pembiayaan peribadi secara dalam talian melalui MBSB Bank atau BSN. Setelah pembiayaan peribadi diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan. Di bawah Fasa 1, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak bank. Amaun pengeluaran yang tertakluk kepada jumlah dalam Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun akan dibuat ke akaun bank ahli apabila ahli mencapai umur antara 50 hingga 55 tahun mengikut pilihan umur pengeluaran ahli.

 

Ahli boleh rujuk http://fsa2.kwsp.gov.my/ untuk menyemak kelayakan mereka bagi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dan jumlah yang boleh dipohon di bawah fasiliti tersebut. Selain itu, soalan lazim berkaitan fasiliti ini juga terdapat di laman web untuk rujukan ahli.

 

Ahli disarankan untuk mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit mereka melalui Self-Service Terminal (SST) yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi. Untuk maklumat lanjut mengenai Fasiliti Sokongan Akaun 2, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
15 April 202

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.