Pelantikan Baharu Pengurusan Kanan KWSP
KUALA LUMPUR, 7 Januari 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan baharu pengurusan kanannya.
Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif, yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), telah berkhidmat untuk hari terakhirnya pada 31 Disember 2019 lalu. Dato' Mohamad Nasir yang memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Penguatkuasa Negeri di Pulau Pinang dan kemudiannya memegang jawatan Pengurus Besar Jabatan Ekuiti Antarabangsa. Beliau kemudiannya dilantik untuk mengetuai Bahagian Pelaburan pada tahun 2013. Sebagai salah seorang pembuat keputusan terpenting di Bahagian Pelaburan KWSP, Dato’ Mohamad Nasir telah memimpin dana persaraan itu untuk mencapai pelbagai kejayaan signifikan sepanjang 37 tahun tempoh perkhidmatannya.
Berikutan persaraan Dato' Mohamad Nasir, Rohaya Mohammad Yusof telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelaburan. Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Pasaran Persendirian yang memimpin penerokaan peluang dalam pasaran persendirian domestik dan global.
Rohaya menyertai KWSP pada tahun 2008 sebagai Ketua Kewangan Korporat di Bahagian Pelaburan. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Jabatan Pasaran Modal. Sebelum menyertai KWSP, Rohaya memegang jawatan Naib Presiden Eksekutif Perbankan Pelaburan Korporat, Maybank Investment Bank (sebelumnya dikenali sebagai Aseambankers).
KWSP juga mengumumkan pelantikan Nurhisham Hussein sebagai Ketua Pegawai Strategik, jawatan yang sebelum ini disandang oleh Alizakri Alias sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai KWSP pada Ogos 2018. Nurhisham menyertai KWSP pada tahun 2014 sebagai Ketua Jabatan Ekonomi dan Pasaran Modal, setelah berkhidmat di Malaysian Rating Corporation Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan Affin Bank Berhad.
Rohaya dan Nurhisham menyertai pengurusan kanan dana persaraan yang diketuai oleh Alizakri Alias, termasuk Timbalan Ketua Pegawai KWSP (Operasi) Dato' Mohd Naim Daruwish, Ketua Pegawai Kewangan Sazaliza Zainuddin dan Ketua Pegawai Teknologi Muhammad Afhzal Abdul Rahman.
Mengulas mengenai barisan pengurusan kanan tersebut, Alizakri berkata, “Pelantikan Rohaya dan Nurhisham membuktikan bahawa KWSP amat mengutamakan pelan penggantian bakat dan kepimpinan, kerana mereka telah berkhidmat di KWSP untuk jangka masa panjang dalam kapasiti berlainan. Kedua-dua mereka mempunyai persefahaman tentang keunikan KWSP sebagai dana persaraan jangka panjang untuk ahli.”
“Pada masa yang sama, Rohaya dan Nurhisham membawa perspektif baru yang sangat berharga hasil daripada pengalaman mereka sepanjang berada di KWSP,” kata Alizakri. “Kita semua mengenali Rohaya sebagai salah seorang individu yang disegani dalam industri kewangan, dan beliau berada dalam kedudukan baik untuk menyumbang kepelbagaian dalam pasukan pengurusan kanan.”
“Nurhisham juga sebagai salah seorang pakar ekonomi pasaran terbaik negara mempunyai pengalaman dalam membina strategi keselamatan sosial berimpak besar kepada Malaysia. Unjuran analisa beliau yang mendalam akan memberi nilai besar kepada usaha KWSP dalam memastikan strategi korporat yang kukuh untuk jangka masa panjang,” Alizakri berkata.
“Tahun 2020 membawa pelbagai cabaran tetapi saya yakin, dengan barisan pengurusan kanan ini, KWSP akan bersedia untuk mencapai matlamat yang disasarkan. Kami akan terus komited dengan peranan untuk membuat pelaburan demi mencapai pulangan jangka panjang untuk masa depan ahli.”
Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
[email protected]
7 Januari 2020
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.