Tarikh: 28 Ogos 2024
635 Pengarah Syarikat Dihalang Keluar Negara Akibat Tunggakan Caruman KWSP

KWASA DAMANSARA, 28 Ogos 2024: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengemukakan 635 nama pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen antara Januari dan Jun 2024 untuk menghalang mereka meninggalkan Malaysia selagi belum menjelaskan terlebih dahulu tunggakan caruman KWSP, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Encik Sazaliza Zainuddin berkata, “KWSP mengingatkan semua majikan untuk membayar caruman pekerja mereka dengan segera seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 43(1) Akta KWSP. Kegagalan membayar caruman KWSP pada masanya merupakan satu kesalahan serius dan KWSP tidak akan teragak-agak untuk menggunakan penyelesaian undang-undang terhadap majikan yang ingkar, termasuk tindakan sivil dan jenayah, untuk melindungi hak pekerja.”

Caruman bulanan menunjukkan komitmen majikan terhadap kesejahteraan pekerja dan bagi memenuhi kewajipan undang-undang. KWSP akan terus menguatkuasa dan memantau majikan untuk memastikan semua jumlah tertunggak dibayar sepenuhnya.

Sehingga Jun 2024, sejumlah 13,820 majikan, atau 2.02% daripada keseluruhan 685,399 majikan1 yang berdaftar dengan KWSP, telah gagal membayar caruman pekerja mereka. Bagi tempoh yang sama, seramai 12,787 pengarah syarikat telah dihalang keluar negara akibat tunggakan caruman, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.

Dalam tempoh antara Januari dan Jun 2024, sebanyak 1,932 saman sivil telah difailkan terhadap pengarah syarikat manakala 2,200 kes jenayah difailkan terhadap majikan yang ingkar caruman KWSP bulanan pekerja mereka.

KWSP menasihati ahli agar menyemak akaun KWSP mereka secara berkala melalui aplikasi KWSP i-Akaun untuk memastikan caruman daripada majikan mereka dibayar dengan tepat jumlahnya dan pada masanya. Sekiranya terdapat percanggahan, ahli hendaklah menghubungi majikan mereka dengan segera atau melaporkan kepada KWSP melalui laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.

Di samping itu, KWSP amat menggalakkan majikan untuk menggunakan platform KWSP i-Akaun yang membolehkan mereka menyemak dengan selamat senarai pekerja bagi caruman yang telah dibayar serta sejarah pembayaran mereka.

1 Jumlah keseluruhan majikan merangkumi majikan berstatus aktif dan batal. Majikan berstatus ‘batal’ merujuk kepada akaun dengan transaksi digantung dan masih terdapat perkara tertunggak

 

Dikeluarkan oleh
Unit Editorial dan Perhubungan Media 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
28 Ogos 2024

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan terkemuka di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Selaras dengan matlamatnya untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. KWSP terus komited kepada ahli melalui inisiatif-inisiatif untuk mengemaskini dan menambah baik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.