Tarikh: 26 Ogos 2024
Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Bin Ali Dilantik Sebagai Pengerusi KWSP Baharu Berkuatkuasa 1 September 2024

KWASA DAMANSARA, 26 Ogos 2024: Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali sebagai Pengerusi KWSP yang baharu, berkuatkuasa 1 September 2024.

Tan Sri Mohd Zuki, merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara ke-15, akan menggantikan Tan Sri Ahmad Badri bin Mohd Zahir yang telah memegang jawatan Pengerusi KWSP sejak 1 Mei 2020. 

Lembaga KWSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Ahmad Badri di atas kepimpinan dan sumbangan besar beliau yang telah meletakkan KWSP pada tahap kecemerlangan yang berterusan. Pada masa yang sama, Lembaga KWSP mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Mohd Zuki, yang berpengalaman luas dalam sektor Kerajaan dan mempunyai hala tuju strategik untuk terus memacu KWSP ke tahap yang lebih tinggi. 

KWSP akan terus memainkan peranan penting dalam menjamin kesejahteraan kewangan dan simpanan persaraan ahli khususnya dalam membantu membina masa depan yang lebih baik.

 

Dikeluarkan oleh
Unit Editorial dan Perhubungan Media 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
26 Ogos 2024

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan terkemuka di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Selaras dengan matlamatnya untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. KWSP terus komited kepada ahli melalui inisiatif-inisiatif untuk mengemaskini dan menambah baik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.