Perkukuh Pelaburan Rakyat Strengthens Governance, Enhances Investment Opportunities
KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelan Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) yang bertujuan untuk memantapkan Dana Kekayaan Berdaulat negara dan Pelabur Institusi agar menjadi entiti bertaraf antarabangsa dengan tadbir urus yang teguh dalam memenuhi aspirasi jangka panjang nasional.
Sebagai Pelabur Institusi yang berobjektifkan untuk mengoptimumkan pulangan untuk ahli secara lestari, KWSP menyokong penuh inisiatif untuk memperkenalkan Dana Pelaburan Hijau bercirikan ‘opt-in’ yang akan memperkasakan ahli untuk membuat pilihan pelaburan yang mencerminkan nilai dan matlamat peribadi. Inisiatif jangka masa sederhana hingga panjang ini juga akan menyumbang kepada komitmen kelestarian KWSP, di samping mencapai objektif sosioekonomi nasional dalam merancakkan ekonomi hijau dan menggalakkan impak sosial yang positif.
Dari aspek perlindungan sosial, pelan ini juga sedang menerokai langkah-langkah untuk meningkatkan liputan dan kecukupan perlindungan sosial bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perlindungan serta kemampuan dalam memperbaiki taraf hidup mereka. KWSP juga ambil maklum akan keperluan penambahbaikan yang digariskan untuk Pelabur Institusi dalam pelan PERKUKUH, agar semua rakyat Malaysia memperoleh manfaat melalui prestasi pulangan risiko.
PERKUKUH amat penting dalam menyokong usaha memulihkan ekonomi. Oleh itu, KWSP bersedia untuk menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan dan rakan-rakan institusi untuk melaksanakan pelan tersebut, dan pada masa yang sama, tetap fokus dalam memenuhi mandat untuk melindungi simpanan ahli untuk kesejahteraan masa depan mereka.
Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
12 Ogos 2021
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.