Berbelanja Secara Bijak Pada Musim Perayaan

Berbelanja Secara Bijak Pada Musim Perayaan
Article Image

Siapa yang tak suka kemeriahan cuti perayaan? 

 

Sama ada Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali, atau Krismas, pasti ramai yang teruja untuk meraikan sambutan perayaan tersebut.

Dari hiasan perayaan, makanan yang lazat dan tradisi yang turun-temurun, musim perayaan menyatukan orang ramai dalam semangat kebersamaan yang penuh makna.

Perancangan rumah terbuka secara besar-besaran dan jualan sempena musim perayaan yang menggugat iman, memungkinkan anda untuk berbelanja secara berlebihan. Walaupun keinginan untuk membeli-belah adalah lumrah, adalah penting untuk elakkan pembelian secara berlebihan yang boleh menimbulkan tekanan kewangan.


Bagi mereka yang suka berbelanja secara boros kerana susah untuk menguruskan kewangan, pesanan kami ialah: Anda mampu menguruskan kewangan anda dengan bijak! Kami faham tidak mudah untuk menahan diri daripada godaan untuk berbelanja, oleh itu kami kongsikan beberapa tip yang dapat membantu anda mengatur perbelanjaan sepanjang musim perayaan ini.

Utamakan keperluan berbanding kehendak

back chevron

Menjelang musim perayaan, seringkali kita tergoda untuk membeli pakaian, kereta atau perabot yang baru sempena menyambut perayaan tersebut. Keseronokan itu  kadangkala boleh membawa kepada pembelian impulsif.

Di samping itu, elakkan daripada terpengaruh dengan iklan-iklan yang menawarkan pelbagai tawaran menarik. Hanya berbelanja untuk keperluan, bukan kemahuan terhadap sesuatu barang. Sebelum anda membuat sesuatu pembelian, tanya diri anda: “Adakah saya benar-benar memerlukannya atau hanya tunduk kepada desakan sosial?”

Dengan menyedari keperluan sebenar dan membuat pilihan yang bijak, anda boleh menikmati perayaan tanpa berbelanja secara berlebihan.


Mulakan simpanan lebih awal

back chevron

Anda boleh mempertimbangkan untuk membuka akaun khas atau membuat tabungan bagi majlis perayaan atau acara keramaian. Dengan cara ini, anda boleh mengasingkan dana khusus untuk tujuan tersebut dan dapat mengelakkan penggunaan dana dari akaun simpanan utama anda. Untuk melakukannya, anda boleh bahagikan simpanan bulanan anda kepada dua kategori: simpanan peribadi dan perbelanjaan untuk perayaan.

Pastikan anda mematuhi jumlah yang telah ditetapkan bagi mengelakkan perbelanjaan melebihi had bajet. Tetapkan pelan simpanan automatik bagi memudahkan proses menyimpan wang ke dalam akaun khas anda. Dengan cara ini, anda boleh membuat simpanan untuk perayaan secara beransur-ansur tanpa anda sedari sambil menjaga kewangan harian anda. Perlu diingat, lagi awal anda memulakan proses ini, lebih banyak simpanan yang akan anda miliki untuk dinikmati semasa perayaan.

Lagi pula, anda pasti akan merasa teruja apabila mendapati dana perayaan anda berkembang, sedia untuk digunakan untuk momen-momen istimewa bersama orang tersayang.  


Rancang perjalanan anda lebih awal

back chevron

Musim perayaan seringkali berlaku semasa cuti panjang, iaitu waktu puncak bagi aktiviti pelancongan. Ini menyebabkan kos perjalanan meningkat terutamanya bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman, dan lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah berkeluarga.

Oleh itu, muktamadkan rancangan perjalanan anda lebih awal untuk penjimatan yang lebih baik, atau berkongsi kereta (carpool) bersama rakan yang menuju ke destinasi yang sama. Juga, pastikan untuk memanfaatkan setiap sumber yang ada, termasuk laman web yang menawarkan pakej perjalanan yang lebih murah atau membantu anda membuat perbandingan harga.


Pakai semula, kitar semula, padankan & jadi kreatif

back chevron

Muslim perayaan selalunya dikaitkan dengan perhiasan! Tapi, anda tidak perlu berlebihan dengan lampu-lampu dan hiasan tambahan setiap tahun. Mengapa tidak ambil pendekatan untuk kitar semula dan guna semula perhiasaan yang anda miliki?

Hidupkan semula rumah anda untuk perayaan tanpa perbelanjaan yang tinggi. Dapatkan inspirasi dari media sosial dan guna semula koleksi hiasan anda dari tahun sebelumnya dengan menambah beberapa sentuhan kreatif anda sendiri  untuk membuat hiasan yang menarik.

Selain itu, gunakan semula pakaian anda yang sedia ada dengan memadankannya dengan aksesori atau gaya baru yang belum pernah dicuba sebelum ini untuk memberikan penampilan yang lebih segar dan berbeza. Padankan warna, corak, dan tekstur yang menarik untuk mencipta penampilan yang memukau dan unik. 

Anda bukan sahaja dapat menjimatkan duit dengan mengguna semula hiasan dan pakaian yang sedia ada, tetapi juga membuat pilihan yang mesra alam dengan mengurangkan pembelian yang tidak perlu.  


Sediakan juadah perayaan sendiri

back chevron

Menyediakan hidangan perayaan di rumah dan membuat kudapan sendiri adalah cara yang menjimatkan untuk menyambut musim perayaan.

Selalunya, hidangan yang dibeli di kedai harganya lebih mahal kerana kenaikan kos bahan mentah. Dengan menyediakan hidangan dan kudapan sendiri, anda dapat mengawal kos dan menjimatkan duit dengan membeli bahan pada harga yang lebih rendah sebelum musim perayaan tiba.

Bukan itu sahaja, melibatkan orang yang tersayang dalam proses memasak boleh menjadi aktiviti keluarga yang menyeronokkan, mengeratkan hubungan kekeluargaan sambil memasak hidangan yang lazat bersama-sama. Oleh itu, singsingkan lengan baju anda, siapkan bahan-bahan dan jom kita mula  memasak!


Walaupun musim perayaan hanya setahun sekali, ia tidak semestinya diraikan dengan bermewah-mewahan. Jika tabiat berbelanja mewah menjadi suatu kebiasaan, ia akan memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang.

Kami faham bahawa ini bukan perkara yang mudah terutamanya semasa musim perayaan di mana segala-galanya nampak menarik ketika berbelanja.. Oleh itu, utamakan keperluan berbanding kehendak. Mari kita hayati tujuan sebenar musim perayaaan iaitu untuk mengeratkan silaturrahim di kalangan ahli keluarga, jiran, sahabat dan komuniti, sambil memastikan kewangan kita terkawal.

Oh, Hari Raya sudah hampir menjelang tiba. Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin!