Tarikh: 07 Okt 2024
Memperkasakan Komuniti Mudah Terjejas Melalui Pendidikan Kewangan: Sorotan Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2024

Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2024 (National Financial Literacy Symposium, NFLS 2024) telah berlangsung pada 2 hingga 3 Oktober 2024 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Simposium ini dianjurkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) dengan kerjasama Persatuan Ekonomi Malaysia (PEM). Pada tahun ini, NFLS 2024 memberikan tumpuan pada penerapan kesejahteraan kewangan yang inklusif dengan cara mempertingkatkan keupayaan kewangan, khususnya dalam kalangan komuniti yang mudah terjejas. Kerjasama dengan PEM juga mengetengahkan kepentingan menggalakkan komuniti ahli ekonomi untuk melibatkan diri dalam penyelidikan yang menggabungkan pemahaman akademik dengan penggunaan yang praktikal.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Encik Suhaimi Ali menekankan bahawa, “Pendidikan kewangan memainkan peranan berbentuk transformasi dalam usaha menambah baik kehidupan komuniti yang mudah terjejas, termasuk isi rumah berpendapatan rendah dan orang kurang upaya. Penting untuk golongan ini diperkasakan dan dilindungi. Maka pendidikan kewangan perlu dilaksanakan seiring dengan langkah-langkah yang memastikan layanan adil terhadap pengguna kewangan untuk mencapai rangkuman kewangan yang penuh berimpak.”

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Encik Mohamad Hafiz Kassim berkata, “Kesejahteraan kewangan merupakan tanggungjawab bersama yang penting dalam sesebuah masyarakat bagi meningkatkan kestabilan ekonomi, mengurangkan kemiskinan dan mengukuhkan lagi jaringan sosial. Celik kewangan perlu bersifat boleh dilaksanakan dan inklusif dengan mengiktiraf keperluan pelbagai segmen masyarakat termasuk penduduk luar bandar, isi rumah berpendapatan rendah, golongan wanita, pekerja ekonomi gig, belia dan pesara.”
 
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Encik Azaddin Ngah Tasir menekankan tentang peranan mustahak celik kewangan untuk memastikan kemampanan jangka panjang perusahaan mikro. Beliau berkata, “Usahawan perlu memiliki tahap celik kewangan yang baik untuk memaksimumkan hasil melalui keputusan yang berhemat serta meneroka pelbagai alternatif yang berdaya maju.”

Simposium yang berlangsung selama dua hari ini menggabungkan sesi panel dan pembentangan kertas penyelidikan oleh pakar-pakar tempatan dan antarabangsa. Sebanyak 42 kertas penyelidikan telah diterima yang meliputi pelbagai topik termasuk tingkah laku pengguna kewangan, pemerkasaan usahawan mikro, menangani isu hutang berlebihan serta memanfaatkan pendigitalan untuk mempromosikan pendidikan kewangan. Sebanyak lapan kertas penyelidikan telah disenarai pendek dan dibentangkan semasa simposium ini. Sebanyak tiga kertas penyelidikan telah menerima anugerah sebagai kajian terbaik, seperti yang berikut:

  • Well-being in Retirement: Examining the Role of Retirement Resources, Moderated by Gender and Caring for Grandchildren, oleh Dr. Phaik Nie Chin, Universiti Sains Malaysia
  • Over-Indebtedness: Causes and Recommendations for the Future, oleh Dr. Nur Hafidzah Idris, Universiti Teknologi MARA
  • Empowering Malaysian Young Adults: Financially Capable Behaviour and Self-Efficacy as Predictors of Financial Wellness, oleh Dr. Selina Dang Siew Ping, Coreplus Advisory Sdn. Bhd.

Selain itu, satu sesi libat urus telah diadakan dengan Yayasan MySDG serta lebih 50 wakil daripada organisasi bukan kerajaan dan perusahaan sosial lain. Sesi ini bertujuan untuk menggalakkan kerjasama dan mendapatkan pandangan akar umbi untuk mengatasi jurang rangkuman kewangan yang melibatkan komuniti mudah terjejas.

NFLS 2024 dianjurkan bersama oleh Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit bersempena dengan Bulan Literasi Kewangan 2024 oleh FEN. NFLS 2024 menghimpunkan penggubal dasar, penyelidik, pengamal dan organisasi bukan kerajaan untuk meneroka pelbagai strategi inovatif bagi menggalakkan tahap celik kewangan dalam kalangan pelbagai komuniti di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai NFLS 2024, sila layari www.fenetwork.my/nfls/.

 

Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN)
Ditubuhkan pada bulan November 2016, FEN bertindak sebagai platform antara agensi untuk meningkatkan impak inisiatif pendidikan kewangan serta mengenal pasti peluang baharu untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini dilaksanakan melalui penjajaran yang lebih baik, kerjasama yang lebih erat dan tumpuan yang jitu terhadap penilaian impak. Ahli-ahli FEN termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.