Penutupan Sementara Cawangan Georgetown Dan Shah Alam Dan Pembukaan Semula Cawangan Kota Kinabalu
KUALA LUMPUR, 3 Januari 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di Georgetown dan Shah Alam pada hari Isnin, 4 Januari 2021 berikutan daripada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pengurusan premis untuk menjalankan proses disinfeksi dan sanitasi, selepas beberapa anggota disahkan positif COVID-19. KWSP Georgetown akan ditutup selama dua (2) hari dan dibuka semula pada hari Rabu, 6 Januari 2021, sementara KWSP Shah Alam akan ditutup selama satu (1) hari dan dibuka semula pada hari Selasa, 5 Januari 2021.
Selain itu, KWSP Kota Kinabalu akan dibuka semula bermula Isnin, 4 Januari 2021 selepas ditutup pada 31 Disember 2020.
Ahli-ahli yang telah membuat janji temu di cawangan-cawangan yang terkesan bagi tempoh ini dinasihatkan untuk menjadualkan semula urusan mereka melalui Janji Temu Online. Ahli juga boleh berurusan dengan mana-mana cawangan KWSP lain yang masih beroperasi seperti biasa atau melaksanakan transaksi bagi perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun.
KWSP juga telah mengambil langkah perlu untuk menjaga kesihatan dan keselamatan anggota dan orang ramai. Semua anggota perkhidmatan cawangan-cawangan yang terkesan akan menjalani ujian swab COVID-19, dan jika didapati positif, akan mematuhi tempoh kuarantin wajib selama 10 hari mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Semua cawangan KWSP akan terus mengamalkan penjarakan fizikal dan SOP pencegahan yang lain untuk membendung penularan wabak COVID-19.
Sekiranya ahli ingin mendapatkan penjelasan lanjut, mereka boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.
Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
3 Januari 202
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.