YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim Merasmikan Ibu Pejabat Baharu KWSP Di Menara KWSP, Kwasa Damansara
KWASA DAMANSARA, 8 Mei 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan perasmian ibu pejabat baharunya di Menara KWSP Kwasa Damansara hari ini oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, disaksikan oleh Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan dan tetamu kehormat, ahli-ahli Lembaga dan Panel Pelaburan KWSP, pengurusan kanan dan kakitangan KWSP.
Jumlah keluasan tanah perbandaran Kwasa Damansara ini adalah sebanyak 2,620 ekar merangkumi kedua-dua status pegangan bebas dan pegangan pajakan, manakala Menara KWSP, yang telah siap dibina pada Jun 2022, terletak di atas plot berkeluasan 5.2 ekar. Lebih daripada 2,200 kakitangan ibu pejabat KWSP menghuni Menara KWSP, yang juga menempatkan KWSP Cawangan Kwasa Damansara, surau, gim, klinik, dan lebih daripada 1,000 tempat letak kereta untuk kakitangan dan pelanggan KWSP.
Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, “KWSP berbesar hati atas kesudian YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk merasmikan ibu pejabat baharu KWSP di Menara KWSP yang akan menjadi mercu tanda utama Kwasa Damansara. KWSP bukan sahaja yang pertama memecahkan tanah dan memperoleh plot di Kwasa Damansara tetapi ia juga bakal mencetuskan pertumbuhan di perbandaran baharu ini, yang terletak di lokasi strategik terakhir di Selangor.
“Setelah menyaksikan proses pembangunan perbandaran Kwasa Damansara sejak beberapa tahun lalu, kami merasa amat berbangga apabila tiba ke detik bersejarah hari ini, yang merupakan hasil daripada siri perbincangan, perancangan dan kerjasama antara KWSP, anak syarikat milik penuhnya dan pemaju induk Kwasa Land Sdn Bhd, dan rakan kongsi penyampaian projek Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB),” tambah beliau.
Kwasa Damansara telah ditetapkan untuk menjadi salah satu perbandaran terhijau di Lembah Klang dengan pembinaan bangunan-bangunan konsep hijau, inisiatif dan usaha memelihara serta meningkatkan biodiversiti perbandaran tersebut. Menara KWSP yang mempunyai 12 tingkat ini telah diberi status Indeks Bangunan Hijau bertaraf Platinum, seterusnya mengiktiraf komitmen KWSP terhadap nilai konsep hijau dan kemampanan.
Dalam ucapan aluan beliau, Tan Sri Ahmad Badri turut menekankan fokus utama KWSP terhadap kecukupan simpanan persaraan, memperluaskan perlindungan dan kemampanan pulangan dalam komitmennya untuk membina semula simpanan ahli dan mengembalikan fokus terhadap mencapai jaminan pendapatan persaraan.
Dengan berbuat demikian, KWSP sedang meningkatkan Program Outreach untuk mempromosikan caruman sukarela bagi membina simpanan di samping memperluaskan perlindungan KWSP, terutamanya dalam kalangan pekerja tidak formal seperti pekerja gig, pemilik perniagaan dan yang bekerja sendiri atau pekerja bebas.
Setakat 31 Disember 2022, sebanyak 2,981 program jangkauan telah dijalankan di seluruh Malaysia di mana KWSP mencatatkan peningkatan jumlah ahli yang membuat caruman sukarela sebanyak 70% kepada 774,980 pada 2022, berbanding 455,361 pada 2021.
Tan Sri Ahmad Badri berkata KWSP akan terus menyokong pelaksanaan inisiatif untuk menggalakkan pembinaan semula simpanan persaraan, dengan tujuan untuk membantu ahli KWSP dan bakal ahli mencapai persaraan yang lebih selesa.
Menara KWSP terletak di No. 1, Persiaran Kwasa Utama, Kwasa Damansara, Seksyen U4, 40150, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
(Tel: 03-6122 6000)
Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
8 Mei 202
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.