Date: 06 Jul 2023
YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim Merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa KWSP 2023

KUALA LUMPUR, 6 Julai 2023: YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023) dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan, ahli-ahli Lembaga KWSP dan Panel Pelaburan. Acara ini menghimpunkan barisan penceramah tempatan dan antarabangsa, serta pakar dalam bidang perlindungan sosial.

 

Perdana Menteri turut melancarkan versi baharu Aplikasi i-Akaun KWSP, yang menggabungkan ciri-ciri inovatif dan interaktif untuk meningkatkan pengalaman pengguna. Platform yang dinaik taraf ini menyediakan pelbagai fungsi bagi ahli melaksanakan transaksi berkaitan KWSP, termasuk kalkulator simpanan persaraan baharu bagi membantu ahli menilai kecukupan simpanan KWSP apabila bersara kelak.

 

Persidangan dua hari ini, yang bermula semalam pada 5 Julai 2023, adalah anjuran bersama Kementerian Kewangan (MOF), Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), dan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA). Persidangan ini menarik kehadiran seramai lebih 600 delegasi dan lebih 1,500 secara maya, yang terdiri daripada penggubal dasar, kementerian, agensi dan pihak berkepentingan negara daripada pelbagai latar belakang, serta orang awam.

 

Dalam ucapan alu-aluannya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Penganjuran ISWC 2023 adalah tepat pada masanya memandangkan kesejahteraan sosial di Malaysia telah mencapai tahap kritikal di mana perlindungan sosial pada masa ini adalah terlalu rendah. Kami mengalu-alukan kesudian YAB Perdana Menteri untuk merasmikan persidangan tahun ini, sekaligus menyerlahkan kepentingan ISWC dan komitmen bersama untuk membentuk sebuah negara yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

 

“Perlindungan sosial mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan, membawa ketenangan dan kemakmuran kepada masyarakat paling rentan. Ia berupaya memupuk daya tahan, dan dengan menerapkan sistem sokongan yang komprehensif ke dalam masyarakat kita, ia dapat memberi peluang kepada setiap individu untuk berkembang maju, tanpa mengira situasi mereka. Diharapkan melalui persidangan ini, kita dapat membincangkan dan mencari penyelesaian dalam mewujudkan masyarakat yang bukan sahaja mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran material, tetapi juga mementingkan kesejahteraan sosial.”

 

Tema tahun ini “Changing the Game: Building the World We Want” memfokuskan kepada menangani jurang dalam liputan keselamatan sosial dan menyokong hak asasi untuk perlindungan sosial. Dalam ucapan pembukaannya semalam, Datuk Seri Amir Hamzah menekankan bahawa ISWC didorong oleh satu matlamat untuk meningkatkan kehidupan dan kesejahteraan individu dan masyarakat. Beliau menambah bahawa keperluan untuk tidak meminggirkan sesiapa pun merupakan komitmen kolektif negara dan termasuk dalam usaha mewujudkan masyarakat yang adil dan inklusif.

 

Bercakap daripada konteks KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, “KWSP sedang melaksanakan langkah-langkah konkrit, dengan fokus untuk menjamin kesejahteraan masa depan persaraan rakyat Malaysia. Memandangkan keahlian KWSP kini mencecah seramai 15.8 juta ahli, kami berusaha untuk melaksanakan strategi jangka panjang yang bertujuan untuk mewujudkan impak positif dan memupuk kesejahteraan, khususnya di kalangan warga emas. Antara lain, KWSP kini tertumpu kepada memperluaskan perlindungan KWSP dan meningkatkan kecukupan simpanan persaraan ahli.”

 

Persidangan ini, yang sebelumnya dikenali sebagai Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa sebelum ia dinamakan semula kepada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa pada 2018, telah berkembang dan disesuaikan mengikut perubahan landskap kesejahteraan sosial. Sejak 1998, persidangan ini bertujuan untuk mengetengahkan trend lazim yang memberi kesan kepada Malaysia dan membentangkan idea dan perspektif baru dalam menangani isu negara. Pada 2021, ISWC telah menjalani transformasi bagi menyokong usaha pembangunan negara selaras dengan objektif Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC).

 

Antara penceramah pada persidangan tahun ini termasuk Tan Sri Jemilah Mahmood, Pengarah Eksekutif di Planetary Health, Universiti Sunway; Profesor Jomo Kwame Sundaram, Penasihat Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah; Profesor Ian Goldin, Profesor Globalisasi dan Pembangunan di University of Oxford; Rana Faroohar, Penganalisis Ekonomi Global, CNN dan Kolumnis Perniagaan Global Financial Times; Dr. Amjad Rabi, Pakar Ekonomi Keselamatan Sosial; dan Dr. Stephen Kidd, Penganalisis Dasar Sosial Kanan, Development Pathways.

 

Selain acara utama, antara tarikan lain di ISWC 2023 termasuk kiosk KWSP, dan kaunter oleh rakan persidangan seperti BNY Mellon, Amundi Asset, Principal Asset, MBSB Bank, Maybank, RHB Bank dan Public Bank.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
6 Julai 202

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.