Kemaskini terakhir : 15/03/2019 2:49     

Menipu Pengeluaran - 10 Ahli KWSP Disabit Kesalahan Dan Didenda Oleh Mahkamah

Sepuluh ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran di antara April dan Jun 2010, yang menunjukkan usaha berterusan KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli.



Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “Penipuan pengeluaran yang melibatkan ahli mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan kelulusan permohonan mengeluarkan simpanan mereka adalah satu kesalahan yang serius di bawah Akta KWSP 1991.

 

“Sebagai pemegang amanah kepada simpanan persaraan ahli, KWSP bertanggungjawab untuk memastikan ahli tidak mengeluarkan simpanan mereka melalui cara yang tidak sah dan mana-mana ahli yang terbabit akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.”

 

Semua 10 ahli yang didapati bersalah telah dijatuhi hukuman dan didenda oleh mahkamah dengan seorang ahli didenda maksimum RM10,000. Enam daripada mereka mungkin dipenjarakan sehingga dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

 

Pada tempoh yang sama, sejumlah 26 saman mahkamah telah difailkan bagi kesalahan menipu pengeluaran. Semua ahli terbabit, termasuk 10 yang telah dijatuhi hukuman didakwa di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991.

 

Di bawah Akta tersebut, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

Encik Nik Affendi turut berkata bahawa terdapat banyak kes di mana ahli yang bersalah menipu pengeluaran didapati telah diperdaya oleh sindiket yang mensasarkan mereka yang dalam kesempitan wang.

 

“Ahli dinasihati agar tidak terpedaya dengan sindiket terbabit kerana tujuan utama mereka bukan untuk membantu ahli tetapi mengambil kesempatan di atas kesusahan yang sedang dihadapi ahli,” kata beliau. “Sebaliknya, ahli yang ingin memohon pengeluaran KWSP adalah dinasihatkan untuk berurusan terus dengan KWSP kerana perkhidmatan yang diberikan adalah percuma. Ini penting bagi mengelakkan wang hasil titik peluh ahli jatuh ke tangan individu yang tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan simpanan persaraan mereka.”

 

Ahli juga digesa untuk melaporkan sebarang kegiatan penipuan atau cubaan menipu kepada KWSP dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

“KWSP akan terus berusaha untuk melindungi simpanan ahli dan pada masa yang sama ahli juga perlu sedar tanggungjawab mereka menentukan persaraan yang selesa,” kata Encik Nik Affendi.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.