Kemaskini terakhir : 15/03/2019 2:54     

Tindakan Mahkamah - 16 Ahli KWSP Bersalah Menipu Pengeluaran

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa seramai 16 ahli KWSP telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah kerana menipu pengeluaran.

 

Kesalahan ini adalah bagi tempoh Januari hingga Mac 2010 dan tindakan ini merupakan sebahagian daripada usaha KWSP untuk membanteras kegiatan penipuan pengeluaran oleh ahli.

 

Semua 16 ahli terbabit telah dihukum dan didenda oleh mahkamah dengan 12 daripada mereka berkemungkinan dipenjarakan sehingga empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “Tindakan mahkamah yang diambil ini jelas menunjukkan polisi toleransi sifar KWSP terhadap sebarang bentuk penipuan. KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli yang didapati terlibat dalam penipuan pengeluaran.”

 

Dalam tempoh yang sama, sejumlah 29 saman mahkamah juga telah difailkan bagi kesalahan menipu pengeluaran. Semua ahli terbabit, termasuk 16 ahli yang telah dijatuhi hukuman didakwa di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991.

 

Di bawah Akta tersebut, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

Penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan permohonan pengeluaran simpanan KWSP mereka.

 

Sebelum ini, beberapa kes penipuan yang melibatkan pengeluaran pendidikan, kesihatan dan perumahan menggunakan dokumen palsu telah dilaporkan kepada KWSP. Bagaimanapun, KWSP mempunyai kaedahnya tersendiri dalam menentukan kesahihan sesuatu permohonan.

 

“KWSP mempunyai sistem yang berupaya untuk mengesan sebarang penipuan atau cubaan menipu pengeluaran. Ahli yang tidak amanah diingatkan bahawa mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap kesalahan mereka,” kata Nik Affendi.

 

Ahli yang ingin memohon pengeluaran KWSP dinasihatkan supaya berurusan terus dengan KWSP dan tidak memohon bantuan dari pihak ketiga atau mana-mana sindiket. Mereka yang ingin melaporkan sebarang kegiatan penipuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

“Kami ingin mengingatkan ahli bahawa simpanan KWSP adalah untuk persaraan mereka. Ahli dinasihati supaya tidak sesekali terlibat atau terpedaya dengan mana-mana sindiket yang menawarkan perkhidmatan bagi mengeluarkan simpanan KWSP mereka secara tidak sah,” kata Nik Affendi.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.