Kemaskini terakhir : 06/01/2021 8:04     

2.5 JUTA PERMOHONAN i-SINAR KWSP DILULUSKAN SETAKAT 4 JANUARI 2021

Jumlah pengeluaran sebanyak RM19.62 bilion



KUALA LUMPUR, 6 Januari 2021: Setakat 4 Januari 2021, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan 2.5 juta permohonan i-Sinar daripada jumlah keseluruhan sebanyak 3.88 juta, sejak permohonan dibawah Kategori 1 dibuka bermula 21 Disember 2020. Jumlah pengeluaran yang diluluskan adalah sebanyak RM19.62 bilion, dengan pembayaran bulan pertama berjumlah RM10.07 bilion, yang telah dibuat secara berperingkat bermula 5 Januari 2021.

KWSP maklum bahawa sebahagian besar daripada 1.4 juta permohonan yang masih belum diluluskan, berada di dalam kriteria Kategori 2, yang akan dibuka untuk permohonan mulai 11 Januari 2021. Bagi ahli yang termasuk dalam Kategori 2, mereka disarankan untuk menyediakan dokumen yang berkaitan seperti slip gaji rasmi (yang memperincikan jumlah gaji termasuk elaun lebih masa dan komisen) dan / atau penyata bank, untuk dimuat naik di i-Sinar Online.

Untuk memastikan proses permohonan berjalan dengan lancar dan pantas, ahli hendaklah memastikan semua dokumen yang dihantar adalah jelas, sah dan dapat menyokong permohonan mereka. Maklumat lanjut boleh didapati di isinar.kwsp.gov.my.

Daripada jumlah keseluruhan 3.88 juta permohonan diterima, 701 permohonan tidak dapat diluluskan atas beberapa sebab seperti perbezaan nombor akaun bank, permohonan yang dibuat untuk ahli yang telah meninggal dunia atau ahli telah pun berumur 55 tahun dan layak untuk mengeluarkan kesemua simpanan KWSP mereka.

KWSP memberi jaminan kepada ahli bahawa setiap aspek keselamatan telah diambil bagi mengelakkan pihak ketiga atau scammers yang tidak bertanggungjawab daripada membuat permohonan palsu dan menjejaskan simpanan persaraan ahli. KWSP juga ingin menasihatkan ahli untuk tidak berkongsi gambar atau dokumen-dokumen berkaitan permohonan i-Sinar mereka di platform media sosial, kerana ia boleh mendedahkan mereka kepada penipuan dan aktiviti scam.

Mengambilkira situasi semasa COVID-19, ahli adalah digalakkan untuk memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my, dan tidak perlu hadir di cawangan KWSP.

Permohonan i-Sinar akan terus dibuka sehingga 30 Jun 2021.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
6 Januari 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.