Kemaskini terakhir : 15/03/2019 12:03     

22 Ahli KWSP Didapati Bersalah Menipu Pengeluaran

Berikutan usaha berterusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencegah kegiatan penipuan, seramai 22 ahli telah disabitkan kesalahan pada suku tahun ketiga 2011 (Julai – September) kerana terlibat menipu pengeluaran.

 

Dua puluh dua ahli didapati bersalah telah didenda berjumlah RM17,400 oleh mahkamah bagi kesalahan yang melibatkan pengeluaran perumahan KWSP. Salah seorang daripada mereka telah dijatuhi hukuman penjara manakala, 16 lagi berkemungkinan dipenjarakan sehingga enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda itu.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata, “Adalah menjadi keutamaan KWSP untuk memastikan simpanan ahli terus dilindungi dan ini termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang didapati bersalah mengeluarkan simpanan persaraan mereka secara tidak sah.”

 

Sejumlah lima saman baru untuk kesalahan yang sama juga telah difailkan di mahkamah dalam suku tahun berkenaan.

 

Di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Mereka yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkan selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

“Penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan permohonan pengeluaran simpanan KWSP mereka. Setiap permohonan pengeluaran dan dokumen sokongan yang diterima KWSP akan disemak secara terperinci dan dirujuk dengan pihak-pihak berkaitan untuk menentukan kesahihannya. Oleh itu sistem KWSP berkemampuan mengesan ahli yang telah membuat penipuan pengeluaran walaupun selepas pengeluaran dibuat,” kata Nik Affendi.

 

Pegawai KWSP dari semasa ke semasa juga dilengkapkan dengan maklumat terkini berkaitan dengan kes-kes penipuan terutama sekali modus operandi yang digunakan oleh ahli atau sindiket terbabit.

 

“Ahli perlu berhati-hati terhadap sindiket yang kononnya menawarkan bantuan kepada ahli untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka secara tidak sah dengan bayaran yang tinggi. Ahli yang layak yang ingin membuat pengeluaran simpanan KWSP seharusnya berhubung terus dengan KWSP yang tidak mengenakan sebarang caj bagi perkhidmatan yang diberikan,” kata Nik Affendi.

 

Tambahan pula, proses untuk membuat pengeluaran KWSP adalah mudah sekiranya semua syarat telah dipenuhi termasuk mengemukakan dokumen sokongan yang sah, kata beliau.

 

Ahli digesa agar memberikan sokongan kepada KWSP dalam membanteras kegiatan penipuan ini. Mereka yang ingin melaporkan sebarang kegiatan penipuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Talian Hotline Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.