Kemaskini terakhir : 23/06/2020 12:20     

PLATFORM IPD TAMBAHAN DIHUBUNGKAN KEPADA i-INVEST

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menghubung lima platform tambahan daripada enam Institusi Pengurusan Dana (IPD) kepada i-Invest, iaitu kemudahan layan diri yang ditawarkan oleh KWSP untuk ahli membuat pelaburan secara dalam talian.

Platform tambahan tersebut adalah daripada Affin Hwang Asset Management Berhad, Kenanga Investors Berhad, RHB Asset Management Sdn Bhd (berkongsi platform dengan RHB Islamic International Management Berhad), Hong Leong Asset Management Bhd dan TA Investment Management Berhad. Penambahan platform ini akan meningkatkan lagi fleksibiliti kepada ahli KWSP untuk melaksanakan transaksi dalam talian di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA), selaras dengan objektif utama i-Invest.

Setakat 30 April 2020, i-Invest telah merekodkan lebih daripada 25,000 transaksi dengan nilai keseluruhan sebanyak RM219.3 juta.

Penambahan ini telah meningkatkan jumlah platform IPD di bawah i-Invest kepada 10 platform. Platform IPD yang sedia ada semasa pelancaran i-Invest sebelum ini adalah daripada Amanah Saham Nasional Bhd, Eastspring Investments Bhd, Manulife Investment Management Bhd, Principal Asset Management Bhd dan Public Mutual Bhd. IPD yang tidak mempunyai platform sendiri akan menjalankan transaksi pelaburan di dalam i-Invest melalui dua Penasihat Institusi Unit Amanah (IUTA) yang dilantik, iaitu iFAST Capital Sdn Bhd dan Phillip Mutual Berhad.

Sebelum ini, KWSP telah mengumumkan bermula 1 Mei 2020, ahli yang membuat pelaburan melalui i-Invest tidak akan dikenakan caj jualan permulaan oleh IPD untuk tempoh selama 12 bulan. Inisiatif ini membolehkan ahli mempelbagaikan portfolio persaraan mereka pada kos yang lebih rendah.

i-Invest yang dilancarkan pada Ogos 2019 adalah platform digital yang menawarkan fleksibiliti, fungsi dan menyediakan kemudahan untuk ahli membuat pelaburan dan transaksi serta memantau pelaburan unit amanah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. i-Invest juga membolehkan ahli membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD, melihat kesemua pegangan pelaburan mereka dan mendapatkan maklumat berkaitan kos pelaburan, prestasi dana serta sebarang maklumat berkenaan dengan IPD tersebut.

KWSP mengawal selia IPD berdasarkan garis panduan SPA KWSP yang telah dikeluarkan bagi memelihara integriti SPA dan kepentingan ahli yang menyertai skim ini, serta memastikan IPD menjalankan tanggungjawab mereka secara beretika dan cekap.


Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

23 Jun 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.