Kemaskini terakhir : 13/02/2019 5:42     

Belanjawan 2019 Inklusif Untuk Kesejahteraan Sosial

KUALA LUMPUR, 2 November 2018: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2019 oleh Kerajaan yang mengimbangi keperluan jangka masa panjang dengan kehendak jangka masa pendek.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, “KWSP maklum bahawa langkah-langkah jangka pendek yang diumumkan dalam belanjawan adalah perlu bagi menstabilkan keadaan kewangan negara agar berada di landasan pertumbuhan yang kukuh. Kami juga sukacita kerana Kerajaan turut mengambil kira kesejahteraan jangka panjang rakyat Malaysia, dari aspek rumah mampu milik, penjagaan kesihatan, perlindungan insurans dan pengangkutan awam.”

 

Beliau menambah bahawa selain daripada cabaran jangka masa pendek, Malaysia dijangka mengalami penuaan populasi menjelang 2030, di mana golongan tenaga kerja di masa hadapan akan berkurang, dan mereka ini juga terpaksa menampung keperluan mereka yang sudah bersara. Langkah-langkah berkaitan KWSP adalah seperti berikut:

 

1.     Mengurangkan kadar caruman berkanun untuk ahli selepas umur persaraan

Cadangan untuk mengurangkan kadar caruman berkanun syer majikan untuk ahli melepasi umur persaraan dari enam (6) peratus ke empat (4) peratus boleh memberi insentif kepada majikan untuk mengambil atau mengekalkan pekerja berumur selain mengambil manfaat dari skil dan pengetahuan pekerja mereka. Ini adalah selaras dengan konsep penuaan aktif, di mana pesara terus memainkan peranan dalam menyumbang kepada tenaga kerja.

Cadangan ini juga termasuk menetapkan kadar caruman syer pekerja kepada sifar peratus untuk ahli yang telah mencapai umur 60 tahun. KWSP melihat ini sebagai langkah positif kerana ia meningkatkan jumlah gaji bawa pulang, sesuai dengan keperluan kewangan sepanjang tempoh persaraan mereka. Walau bagaimanapun, pesara yang berhasrat untuk terus menyimpan dengan KWSP masih boleh mencarum secara sukarela.

 

2.     Pengasingan Pelepasan Cukai Antara Caruman KWSP Dan Premium Takaful dan Insuran Hayat

KWSP mengambil maklum cadangan Kerajaan untuk mengasingkan pelepasan cukai antara caruman KWSP dan premium takaful dan insuran hayat, memandangkan kedua-duanya tergolong di bawah aspek sistem keselamatan sosial yang berlainan.

Walaupun langkah tersebut mengurangkan elemen perlindungan cukai ke atas caruman KWSP, ia merupakan langkah yang betul dan harus dilihat dari konteks penambahbaikan ke atas skim keselamatan sosial secara menyeluruh.

 

3.     Caruman bulanan e-Kasih RM40 untuk i-Suri diteruskan

Dalam usaha untuk memperluaskan liputan kepada sektor tidak formal, Kerajaan akan meneruskan caruman bulanan sebanyak RM40 bagi setiap caruman minimum RM5 setiap bulan ke dalam akaun suri rumah i-Suri KWSP.

Inisiatif i-Suri, yang dilancarkan pada 15 Ogos 2018, menerima sambutan positif dan setakat akhir Oktober 2018, seramai 28,963, atau 13.29 peratus, daripada mereka yang layak di bawah e-Kasih, telah mendaftar di bawah skim tersebut. Insentif ini dijangka menyediakan tabung simpanan persaraan kepada suri rumah demi kesejahteraan masa depan mereka.

 

Tunku Alizakri mengulas, “Ini merupakan belanjawan inklusif yang mengambil kira keperluan golongan masyarakat rentan. Langkah-langkah yang dicadangkan menyediakan asas untuk pembangunan infrastruktur kesejahteraan sosial yang kukuh.

 

“Kami amat sukacita kerana belanjawan ini membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan mereka dengan lebih bermaruah sebelum dan selepas bersara. Di samping itu, pesara kini dapat terus memainkan peranan mereka sebagai sebahagian daripada tenaga kerja yang produktif. Belanjawan ini meningkatkan sistem perlindungan sosial Malaysia dan mengorak langkah ke arah membolehkan rakyat mencapai potensi dan aspirasi mereka, sejajar dengan misi KWSP untuk membantu ahli kami mencapai masa depan yang lebih baik.”

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.