Kemaskini terakhir : 22/02/2020 1:14     

LAMPIRAN: PRESTASI KWSP 2019

  1. PRESTASI KORPORAT KWSP 2019
  2. PRESTASI KEWANGAN SIMPANAN KONVENSIONAL KWSP 2019
  3. PRESTASI KEWANGAN SIMPANAN SHARIAH KWSP 2019

1: PRESTASI KORPORAT KWSP 2019

 


Setakat 31 Disember 2019, KWSP merekodkan 14.6 juta ahli dengan 7.6 juta ahli yang aktif. Ahli merangkumi lima generasi warga kerja Malaysia: 1.4 % merupakan traditionalists (lahir antara 1900 hingga 1940), 8.0% merupakan baby boomers (lahir antara 1941 hingga 1960), 38.3% merupakan Generasi X (lahir antara 1961 hingga 1980), 51.5% merupakan Generasi Y (lahir antara 1981 hingga 2000), dan 0.9% merupakan Generasi Z (lahir 2001 ke atas).

Pada tahun yang sama, KWSP mencatatkan pertumbuhan sebanyak 24.6% dalam pelangganan i-Akaun, dengan 7.6 juta pelanggan berbanding 6.1 juta pada tahun 2018. Majikan yang berdaftar dengan KWSP juga bertambah sebanyak 3.0%, daripada 507, 100 kepada 522,300 majikan.

Dana tersebut juga menerima secara purata caruman bulanan sebanyak RM6.3 bilion, yang membawa kepada jumlah keseluruhan RM75.9 bilion pada 31 Disember 2019. Ini membawa maksud bahawa caruman sebanyak RM144,000 diterima setiap minit. Secara keseluruhan, pengeluaran pada tahun 2019 berjumlah RM44.8 bilion, yang membawa maksud anggaran RM85,000 diagihkan kepada ahli setiap minit. KWSP menerima caruman bersih berjumlah RM31.1 bilion pada tahun tersebut atau secara purata RM2.6 bilion setiap bulan, iaitu RM59,000 setiap minit.

Untuk terus memberi nilai tambah kepada ahli, KWSP melaksanakan beberapa inisiatif pada tahun 2019 seperti pelancaran i-Invest yang telah merekodkan nilai transaksi sebanyak RM81.8 juta, memberi manfaat kepada lebih 10,000 ahli, sejak pelancarannya pada bulan Ogos 2019. Literasi kewangan tetap menjadi inisiatif teras untuk tahun itu, dengan pelancaran panduan Belanjawanku dan My Money Matters, yang menawarkan maklumat dan tips berkenaan perbelanjaan kewangan. Skim caruman sukarela seperti i-Saraan (untuk pekerja sambilan) dan i-Suri (untuk surirumah) telah masing-masing merekodkan RM144 juta dan RM7.4 juta. Ini menegaskan komitmen KWSP untuk terus meluaskan liputan perlindungan sosial.

Tambahan, Khidmat Nasihat Persaraan KWSP yang telah memenangi pelbagai anugerah dan bertujuan untuk melengkapi ahli dengan ilmu pengurusan kewangan semasa persaraan, telah diluaskan kepada 52 cawangan tahun lepas daripada 28 cawangan pada tahun 2018. 

 

  1. PRESTASI KEWANGAN SIMPANAN KONVENSIONAL KWSP 2019

Aset pelaburan keseluruhan KWSP mencatatkan RM924.75 bilion setakat 31 Disember 2019, 37% dilaburkan dalam portfolio Shariah dan 63% dalam portfolio Konvensional. Pulangan keseluruhan daripada portfolio Konvensional dan sebahagian daripada portfolio Shariah adalah dikaitkan dengan Simpanan Konvensional.

Bagi 2019, KWSP melaporkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM50.29 bilion, yang mana dua per tiga berasal daripada aliran dividen dan faedah yang stabil. Daripada jumlah RM50.29 bilion tersebut, RM45.82 bilion diatributasikan kepada Simpanan Konvensional.

Pembayaran dividen KWSP diperoleh daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, kerugian tidak nyata yang disebabkan oleh ekuiti tersenarai, keuntungan atau kerugian tidak nyata daripada transaksi antara syarikat, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.

Jumlah agihan bagi setiap 1.00% dividen untuk 2019 bagi Simpanan Konvensional adalah RM7.65 bilion, berbanding dengan RM6.99 bilion pada 2018.

Daripada aset pelaburan keseluruhan, 49% telah diperuntukkan untuk instrumen pendapatan tetap bagi tujuan pemeliharaan modal. Peruntukan untuk ekuiti, bagi tujuan penambahbaikan modal, adalah 39%. Instrumen pasaran wang untuk pemeliharaan modal dan pengurusan kecairan adalah 7%, manakala hartanah dan infrastruktur untuk tujuan pemeliharaan modal dan penambahbaikan modal adalah 5%.

Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan iaitu 47%, berjumlah sebanyak RM21.49 bilion, berbanding RM26.66 bilion pada 2018.

Instrumen pendapatan tetap menyediakan sumber pendapatan stabil dalam suasana ekonomi yang mencabar pada 2019 dan seperti yang dijangka, pendapatan daripada peningkatan modal, bertambah berikutan hasil pasaran yang lebih rendah. Pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia & Bon Sama Taraf dan Pinjaman & Bon, secara jumlahnya menyumbang sebanyak 43%, atau RM19.60 bilion, berbanding dengan RM16.64 bilion pada 2018.

Hartanah & Infrastruktur menyumbang RM3.03 bilion atau 6% kepada pendapatan pelaburan pada 2019, manakala Instrumen Pasaran Wang menyumbang RM1.70 bilion atau 4% kepada pendapatan pelaburan sepanjang tahun lepas.

Pelaburan luar negara merentasi semua kelas aset adalah 30.3% daripada jumlah aset pelaburan dan menyumbang 41.0% kepada pendapatan pelaburan kasar. Pengurus dana luaran telah mengurus 14.4% daripada dana keseluruhan dan menyumbang 18.3% kepada pendapatan.

 

  1. PRESTASI KEWANGAN SIMPANAN SHARIAH KWSP 2019

Aset pelaburan keseluruhan KWSP mencatatkan RM924.75 bilion setakat 31 Disember 2019, 37% dilaburkan dalam portfolio Shariah dan 63% dalam portfolio Konvensional. Pulangan keseluruhan daripada portfolio Konvensional dan sebahagian daripada portfolio Shariah adalah dikaitkan dengan Simpanan Konvensional.

Pada 2019, pendapatan kasar pelaburan KWSP daripada pelaburan Shariah berjumlah RM17.88 bilion. Satu per tiga daripada pelaburan ini bersumberkan Simpanan Shariah manakala yang berbaki adalah Simpanan Konvensional. Jumlah agihan bagi setiap 1.00% dividen pada 2019 adalah RM0.83 billion, berbanding dengan RM0.73 billion pada 2018.

Daripada jumlah aset pelaburan, 37% dilaburkan dalam portfolio Shariah. Daripada portfolio ini, 47% telah diperuntukkan bagi instrumen pendapatan tetap untuk tujuan pemeliharaan modal. Peruntukan untuk ekuiti bagi tujuan penambahbaikan modal adalah 42%. Instrumen Pasaran Wang untuk pemeliharaan modal dan pengurusan kecairan membentuk 8% manakala Hartanah dan Infrastruktur for pemeliharaan modal dan penambahbaikan modal, sebanyak 3%.

Prestasi instrumen pendapatan tetap shariah bagi 2019 amat baik, meyumbang kepada kestabilan pendapatan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, pendapatan daripada peningkatan modal disebabkan hasil lebih rendah. Pendapatan pelaburan bagi Simpanan Shariah dalam instrument pendapatan tetap yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia & Bon Sama Taraf and Pinjaman & Bon, secara keseluruhannya menyumbang 47%, atau RM2.10 billion, berbanding dengan RM1.75 billion pada 2018.

Bagi tahun 2019, Ekuiti telah menyumbang 45% kepada pendapatan pelaburan Simpanan Shariah berjumlah sebanyak RM1.99 billion berbanding RM2.63 billion pada 2018.

Instrumen Pasaran Wang telah menyumbang RM0.24 billion atau 5% dalam Pendapatan Pelaburan Simpanan Shariah pada 2019, manakala Hartanah & Infrastruktur telah menyumbang RM0.14 bilion atau 3% dalam pendapatan pelaburan Simpanan Shariah sepanjang tahun tersebut.