Kemaskini terakhir : 13/03/2019 4:20     

KWSP Ingatkan Ahli Penipuan SMS Mengenai Pengeluaran KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahli mengenai penipuan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) diedarkan oleh individu yang kononnya menawarkan perkhidmatan mengeluarkan simpanan KWSP ahli 100% sebelum umur 55. 

 

KWSP menjelaskan pengeluaran penuh KWSP hanya boleh dibuat pada umur 55 tahun, kecuali situasi seperti berikut:

 

a) Pengeluaran Meninggalkan Negara - Pengeluaran ini boleh dipohon oleh warganegara Malaysia yang telah melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan untuk berhijrah ke negara lain atau bukan warganegara Malaysia yang telah tamat tempoh perkhidmatan di negara ini dan ingin kembali ke negara asal.

b) Pengeluaran Kematian - Pengeluaran ini membolehkan penama / wasi / pentadbir pusaka / waris terdekat ahli mengeluarkan simpanan KWSP apabila ahli meninggal dunia.

c) Pengeluaran Hilang Upaya - Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan semua simpanan KWSP sekiranya tidak berupaya daripada segi fizikal atau mental, setelah mencapai tahap Pemulihan Perubatan Maksima (MMI) untuk bekerja bagi membantu menyara kehidupan ahli.

d) Pengeluaran Pekerja Berpencen - Pengeluaran ini membolehkan ahli KWSP yang sedang berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam dan telah diberikan taraf pekerja berpencen mengeluarkan simpanan bahagian pekerja.

 

Sebelum mencapai umur 55, ahli dibenarkan membuat pengeluaran pra-persaraan daripada Akaun 2 (sehingga 30 peratus daripada jumlah simpanan KWSP mereka), sekiranya mereka mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan untuk setiap skim pengeluaran. Pengeluaran pra-persaraan terdiri daripada Pengeluaran Perumahan, Pengeluaran Pendidikan, Pengeluaran Kesihatan, Pengeluaran Umur 50 dan Pengeluaran Haji.

 

KWSP menekankan bahawa ia tidak melantik ejen atau pihak ketiga untuk membantu ahli membuat sebarang pengeluaran KWSP. Ahli yang mematuhi syarat dinasihati berurusan secara terus dengan KWSP untuk membuat pengeluaran.

 

Ahli yang tidak mematuhi terma dan syarat untuk membuat pengeluaran KWSP dan cuba mengeluarkan simpanan mereka secara tidak sah atau melibatkan diri dalam penipuan pengeluaran adalah satu kesalahan di bawah Akta KWSP 1991. Menurut Akta ini, ahli yang disabit bersalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga (3) tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali. 

 

Ahli yang berdepan dengan sebarang kegiatan penipuan atau cubaan untuk menipu berkaitan pengeluaran KWSP digesa melaporkannya dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 17 Februari 2015