Kemaskini terakhir : 07/12/2020 7:44     

PENJELASAN MENGENAI LAPORAN MEDIA BERKENAAN PERMOHONAN UNTUK MEMANSUHKAN SEMUA KRITERIA DAN SYARAT KEMUDAHAN i-SINAR

KUALA LUMPUR, 7 Disember 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merujuk pelbagai laporan media mengenai permohonan untuk memansuhkan semua kriteria dan syarat yang ditetapkan di bawah kemudahan i-Sinar.

KWSP ingin menyatakan bahawa ia sentiasa mengambil berat terhadap setiap permintaan dan cadangan daripada pihak-pihak berkepentingan. KWSP juga ingin menjelaskan bahawa setiap proses atau perubahan dasar atau penambahbaikan akan menjalani proses pertimbangan sewajarnya dan dibentangkan kepada Ahli Lembaga KWSP untuk kelulusan. Berikutan itu, setiap perkara yang melibatkan isu dasar akan dibawa kepada perhatian dan untuk pandangan Kementerian Kewangan.

KWSP mengalu-alukan sebarang maklum balas mengenai i-Sinar, namun buat masa ini, tiada sebarang perubahan terhadap kriteria semasa i-Sinar. Dijangkakan sebahagian besar daripada 8 juta ahli yang layak memohon di bawah Kategori 1 akan diberikan kelulusan secara automatik tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan. Permohonan dalam talian akan bermula 21 Disember 2020 dan pembayaran akan dibuat pada pertengahan Januari 2021.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
7 Disember 2020
 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.