Kemaskini terakhir : 11/09/2020 5:46     

PENUTUPAN SEMENTARA CAWANGAN ALOR SETAR BERIKUTAN PELAKSANAAN PKPD

KUALA LUMPUR, 11 September 2020: Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran untuk membendung segera penyebaran COVID-19 di daerah Kota Setar, Kedah, berkuat kuasa dari 11 hingga 25 September 2020, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di Alor Setar, mulai Ahad, 13 September 2020.

Sehubungan itu:

  • Semua permohonan Janji Temu Online (JTO) ke KWSP Alor Setar akan dibatalkan serta merta.
  • Ahli yang telah membuat janji temu di pejabat Alor Setar yang dijadualkan dalam tempoh PKPD perlu membuat semula janji temu mereka setelah perintah kawalan tamat.
  • Ahli dan majikan masih boleh menggunakan perkhidmatan atas talian KWSP iaitu, i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan), yang beroperasi seperti biasa.
  • Pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet atau ejen bank berdaftar di kaunter.
  • Ahli dan majikan disarankan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja.
  • Untuk penjelasan lebih lanjut, sila hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03-8922 6000.

Pada masa yang mencabar ini, KWSP komited untuk terus memberi perkhidmatan kepada ahli di cawangan atau saluran digital. Kesihatan dan keselamatan ahli serta anggota KWSP tetap menjadi keutamaan. Segala kesulitan amatlah dikesali.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

11 September 2020

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.