Kemaskini terakhir : 06/01/2021 4:41     

PENUTUPAN CAWANGAN GEORGETOWN DILANJUTKAN

KUALA LUMPUR, 6 Januari 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan terus menutup pejabat dan kaunternya di Georgetown sehingga dimaklumkan kelak, selepas beberapa anggota didapati positif COVID-19. Anggota yang terkesan kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan, manakala pengesanan kontak sedang dilaksanakan.

KWSP juga telah mengambil langkah perlu untuk menjaga kesihatan dan keselamatan anggota dan orang ramai. Semua anggota perkhidmatan cawangan tersebut telah menjalani ujian swab COVID-19, dan sesiapa yang didapati mengalami sebarang gejala diwajibkan mematuhi prosedur kuarantin. Semua cawangan KWSP akan terus mengamalkan penjarakan fizikal dan SOP pencegahan yang lain untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Ahli-ahli yang telah membuat janji temu di cawangan KWSP Georgetown bagi tempoh ini dinasihatkan untuk menjadualkan semula urusan mereka melalui Janji Temu Online. Ahli juga boleh berurusan dengan mana-mana cawangan KWSP lain yang masih beroperasi seperti biasa atau melaksanakan transaksi bagi perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun.

Sekiranya ahli ingin mendapatkan penjelasan lanjut, mereka boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.


Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
6 Januari 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.