Kemaskini terakhir : 15/03/2019 12:28     

12 Ahli KWSP Disabitkan Kesalahan Oleh Mahkamah Kerana Menipu Pengeluaran

Usaha Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencegah aktiviti penipuan telah membawa 12 ahli disabitkan kesalahan di antara Januari dan Mac 2011 kerana menipu atau cubaan menipu pengeluaran.

 

Semua 12 ahli terbabit didapati bersalah dan didenda sejumlah RM15,100 oleh mahkamah kerana terlibat dalam kes-kes tersebut yang melibatkan pengeluaran perumahan, hilang upaya dan kesihatan. Seorang daripada 12 ahli terbabit dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara manakala lapan daripada mereka berkemungkinan dipenjarakan sehingga empat bulan sekiranya gagal membayar denda.



Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “Penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan pengeluaran dari akaun mereka sendiri merupakan satu kesalahan serius di mana ahli yang didapati bersalah akan berhadapan dengan hukuman denda dan penjara.

 

“Oleh itu, ahli diingatkan agar tidak terjebak dalam penipuan pengeluaran kerana KWSP mempunyai sistem yang berupaya untuk mengesan penipuan pengeluaran walaupun setelah simpanan berjaya dikeluarkan. Sehubungan itu, mereka yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.”

 

Semua 12 ahli yang didapati bersalah telah didakwa di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991. Di bawah Akta tersebut, ahli yang disabitkan kesalahan melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

“KWSP ingin menasihati ahli yang ingin memohon pengeluaran agar mengunjungi cawangan KWSP dan menemui pegawai kami yang sedia membantu. Proses memohon pengeluaran KWSP adalah mudah selagi semua syarat seperti mengemukakan dokumen tulen dipenuhi,” kata Nik Affendi.

 

Ahli diingatkan agar tidak memohon bantuan dari pihak ketiga atau sindiket yang mungkin memperdayakan ahli bahawa mereka boleh membantu membuat pengeluaran. Ahli yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan penipuan digesa menghubungi Talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

“Seperti ahli sedia maklum, objektif simpanan KWSP adalah untuk menabung bagi keperluan mereka semasa bersara. Ahli juga yang rugi jika memilih cara yang salah untuk mengeluarkan simpanan sebelum waktunya,” tegas Nik Affendi.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.