Kemaskini terakhir : 15/03/2019 2:43     

Menipu Pengeluaran - 14 Ahli KWSP Disabit Kesalahan Oleh Mahkamah

Seramai 14 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dalam percubaan atau penipuan pengeluaran di antara Julai dan September 2010 hasil usaha berterusan KWSP untuk membanteras penipuan pengeluaran.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “Keputusan mahkamah jelas menunjukkan komitmen KWSP dalam memerangi penipuan pengeluaran di kalangan ahli serta keberkesanan polisi toleransi sifar KWSP terhadap sebarang bentuk penipuan”.

 

“Semua 14 ahli didakwa di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991 telah dijatuhi hukuman dan didenda berjumlah RM12,950 oleh mahkamah. Seorang daripada mereka telah dihukum tiga bulan penjara manakala sembilan berkemungkinan menghadapi hukuman penjara sehingga dua bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut”.

 

Penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan permohonan pengeluaran simpanan mereka.

 

Di bawah Akta tersebut, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan, atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkan selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

Berikutan kes-kes penipuan melibatkan pengeluaran pendidikan, kesihatan dan perumahan menggunakan dokumen palsu dilaporkan kepada KWSP pada tahun-tahun sebelum ini, KWSP telah menghasilkan kaedah tersendiri untuk mengesan sama ada setiap permohonan adalah tulen atau palsu.

 

“Ahli yang tidak jujur diingatkan bahawa KWSP mempunyai sistem dan proses yang boleh mengesan sebarang penipuan atau cubaan untuk menipu pengeluaran,” kata Nik Affendi.

 

Tambah beliau lagi, proses KWSP telah dirancang secara teliti bagi membolehkannya mengesan ahli yang telah membuat penipuan pengeluaran walaupun selepas simpanan berjaya dikeluarkan.



“Mereka yang terlibat akan dilaporkan kepada pihak polis dan akan berhadapan tindakan undang-undang,” tegas beliau.

 

Ahli yang ingin memohon pengeluaran KWSP dinasihati supaya tidak mendapatkan bantuan pihak ketiga atau sindiket tetapi berurusan terus dengan KWSP yang memberikan perkhidmatan secara percuma. Ahli boleh melaporkan sebarang kejadian penipuan kepada KWSP dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

“Sepertimana ahli sedia maklum, simpanan KWSP adalah untuk keperluan persaraan mereka. Ahli juga yang rugi jika memilih cara yang salah untuk mengeluarkan simpanan sebelum sampai masanya,” kata Nik Affendi.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.