Kemaskini terakhir : 18/03/2019 12:41     

Mahkamah Denda Enam Ahli KWSP RM13,000 Terlibat Dalam Penipuan Pengeluaran

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa enam ahli telah disabitkan kesalahan dan denda berjumlah RM13,000 oleh mahkamah kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran bagi tempoh April hingga Jun 2012 (S2 2012).

 

Lima daripada enam ahli tersebut disabitkan kesalahan melibatkan pengeluaran perumahan KWSP manakala seorang ahli terbabit dalam pengeluaran hilang upaya. Denda yang dikenakan oleh mahkamah untuk setiap ahli tersebut ialah antara RM500 dan RM3,000 dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan mereka berkemungkinan dikenakan hukuman penjara sehingga lapan bulan.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Encik Nik Affendi Jaafar berkata, "Simpanan KWSP adalah untuk tujuan persaraan, ahli diingatkan agar simpanan ini tidak disalahgunakan untuk tujuan lain yang tidak menepati objektif KWSP seperti yang ditetapkan di bawah Akta KWSP 1991."

 

"KWSP mempunyai sistem komprehensif yang boleh mengesan ahli yang telah membuat penipuan pengeluaran walaupun selepas simpanan tersebut berjaya dikeluarkan. Ahli yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang," tambah beliau.

 

Penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan permohonan pengeluaran daripada akaun simpanan KWSP mereka sendiri.

 

Di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan hilang hak membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

Ahli diingatkan supaya berwaspada dengan tawaran oleh sindiket atau pihak ketiga yang mencurigakan kononnya untuk membantu ahli membuat pengeluaran daripada akaun KWSP dengan mengenakan bayaran. Ahli KWSP yang layak membuat pengeluaran simpanan daripada akaun mereka dinasihati berurusan terus dengan KWSP yang memberikan perkhidmatan secara percuma.

 

Sekiranya ahli mengetahui sebarang kegiatan penipuan atau percubaan penipuan, mereka digesa menghubungi Talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya. Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar. KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.