Kemaskini terakhir : 10/02/2021 1:39     

DATUK SERI AMIR HAMZAH AZIZAN DILANTIK SEBAGAI KETUA PEGAWAI KWSP YANG BAHARU

Pelantikan berkuatkuasa pada 1 Mac 2021
 

KUALA LUMPUR, 10 Februari 2021: Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan kelulusan Menteri Kewangan mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP berkuatkuasa 1 Mac 2021.

Datuk Seri Amir Hamzah yang sebelum ini merupakan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menggantikan Tunku Alizakri Alias yang telah menerajui KWSP semenjak 20 Ogos 2018. Datuk Seri Amir Hamzah membawa bersama beliau 25 tahun pengalaman dalam meneraju beberapa organisasi korporat.

Kerjaya Datuk Seri Amir Hamzah bermula apabila beliau menyertai Kumpulan Shell dan seterusnya telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif beberapa organisasi korporat antaranya MISC Berhad, PETRONAS Dagangan Berhad, PETRONAS Lubricants International, Icon Offshore Berhad dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan (Kewangan dan Ekonomi) daripada Universiti Syracuse, New York.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, “Tunku Alizakri akan meneruskan sumbangannya terhadap perkhidmatan awam melalui kapasiti yang berbeza. Dengan berat hati, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan ucapan selamat maju jaya kepada Tunku Alizakri atas dedikasi dan sumbangan beliau selama 7 tahun, bermula sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) dan kemudian sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP. Wawasan serta komitmen Tunku Alizakri kepada semua pihak berkepentingan terutama ahli-ahli KWSP boleh dilihat melalui hala tuju KWSP dalam mempertingkatkan kecekapan operasinya melalui pecutan digital, mengguna pakai dasar dan tadbir urus alam sekitar (ESG) dan kelestarian (sustainability) sebagai metrik utama, serta memperkasakan keselamatan sosial dan kesejahteraan bagi masyarakat Malaysia.”

“Bagi pihak KWSP, saya ingin menzahirkan setinggi penghargaan kepada Tunku Alizakri di atas perkhidmatan yang cemerlang kepada KWSP dan dalam masa yang sama saya ingin mengucapkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Amir Hamzah di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang baharu. Kami mengalu-alukan kehadiran beliau untuk menerajui organisasi ini dan percaya ciri-ciri kepimpinan dinamik yang beliau miliki serta pengalaman yang luas mampu membantu KWSP di kala mengharungi detik-detik masa kini yang sangat kompleks dan mencabar dalam sejarah KWSP”.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
10 Februari 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.