Kemaskini terakhir : 28/11/2020 2:05     

MAJIKAN BOLEH DAFTAR PERMOHONAN PEKERJA UNTUK KEKALKAN KADAR CARUMAN PADA 11 PERATUS MULAI 14 DISEMBER 2020

Semua perkhidmatan KWSP untuk majikan disediakan menerusi saluran dalam talian dalam tempoh ini

KUALA LUMPUR, 28 November 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin memaklumkan bahawa para majikan boleh mendaftar permohonon pekerja mereka untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus bermula 14 Disember 2020,.

Pendaftaran permohonan ini hanya boleh dilakukan melalui portal i-Akaun (Majikan). Ini adalah selaras dengan langkah KWSP untuk memastikan penjarakan fizikal dipatuhi serta mengurangkan interaksi secara bersemuka untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Dalam tempoh ini, kehadiran majikan di cawangan KWSP adalah terbatas manakala aktiviti lawatan Pegawai KWSP ke premis majikan akan dihadkan. Majikan hanya boleh hadir ke cawangan KWSP untuk tujuan pendaftaran majikan dengan membuat janji temu terlebih dahulu melalui saluran Janji Temu Online (www.kwsp.gov.my/janjitemu).

Pembayaran caruman bulanan KWSP serta Caj Lewat Bayar & Dividen boleh dibuat melalui saluran i-Akaun (Majikan), perbankan internet, dan kaunter ejen bank yang dilantik.

Bagi urusan-urusan yang lain termasuk khidmat nasihat berkaitan majikan dan pengurusan akaun majikan, para majikan boleh berhubung terus dengan Pegawai Khidmat Nasihat Majikan yang ditugaskan kepada syarikat masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, majikan boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
28 November 2020
 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.