Kemaskini terakhir : 14/03/2019 5:32     

Lima Ahli Didenda Tipu Pengeluaran

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan lima ahli telah disabitkan kesalahan dan didenda RM8,500 oleh mahkamah bagi tempoh suku tahun keempat 2014 (Oktober – Disember 2014) kerana terlibat dalam kes-kes berkaitan penipuan pengeluaran.

 

Lima ahli telah didakwa dan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan denda yang dikenakan ke atas mereka ialah di antara RM1,200 dan RM2,000.  Daripada lima kes tersebut, empat telah didakwa kerana cuba melakukan penipuan pengeluaran simpanan. Menurut Akta ini, ahli boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga (3) tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Mereka juga  perlu membayar balik kesemua amaun simpanan yang dikeluarkan dengan cara menipu.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Dato’ Mohd Naim Daruwish berkata, “Penipuan pengeluaran merupakan satu kesalahan serius dan ahli yang disabitkan bersalah boleh dikenakan denda dan akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama.


 
Pada suku tahun yang sama, sebanyak 16 kes baru telah difailkan terhadap ahli yang menipu pengeluaran.

 

KWSP juga tidak menafikan terdapat ejen atau sindiket menawarkan perkhidmatan kepada ahli yang terdesak memerlukan wang dengan dikenakan bayaran. Ahli digesa untuk tidak menjadi mangsa sindiket tersebut yang lazimnya akan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui laman web dan mengedarkan kad perniagaan serta risalah.

 

“KWSP menggesa ahli tidak menggunakan khidmat pihak ketiga atau ejen dan terus berurusan dengan KWSP sekiranya ingin membuat sebarang pengeluaran kerana ia lebih cepat dan mudah,” kata Dato’ Mohd Naim, beliau turut menambah KWSP tidak pernah melantik ejen atau orang tengah untuk membantu ahli mengeluarkan simpanan KWSP mereka.

 

Beliau berkata, walaupun KWSP membenarkan ahli membuat pengeluaran, mereka dinasihatkan agar mengeluarkan simpanan KWSP sekiranya ia benar-benar perlu kerana objektif utama simpanan KWSP adalah untuk persaraan mereka.

 

KWSP mempunyai sistem komprehensif yang berupaya mengesan kes penipuan pengeluaran walaupun selepas simpanan tersebut berjaya dikeluarkan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bersalah.

 

Ahli yang berdepan dengan sebarang kegiatan penipuan atau cubaan untuk menipu berkaitan pengeluaran KWSP digesa melaporkannya dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.