Kemaskini terakhir : 18/03/2019 12:22     

Tujuh Ahli Didenda Kerana Menipu Pengeluaran

KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2015: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan tujuh ahli telah disabitkan kesalahan dan didenda sebanyak RM10,000 oleh mahkamah bagi tempoh suku tahun kedua 2015 (April – Jun 2015) kerana terlibat dalam kes-kes berkaitan penipuan pengeluaran.

 

Tujuh ahli telah didakwa dan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan denda yang dikenakan ke atas mereka ialah di antara RM500 dan RM3,000. Menurut Akta, ahli boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga (3) tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Mereka juga  perlu membayar balik kesemua amaun simpanan yang dikeluarkan secara penipuan.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Dato’ Mohd Naim Daruwish berkata, “Penipuan pengeluaran merupakan satu kesalahan serius dan ahli yang disabitkan bersalah boleh dikenakan denda dan akan hilang hak untuk membuat pengeluaran yang sama.” 

 

Pada suku tahun yang sama, sebanyak 18 kes baru telah difailkan terhadap ahli yang menipu pengeluaran. Enam daripada tujuh ahli tersebut disabitkan kesalahan kerana menipu Pengeluaran Perumahan dan satu untuk Pengeluaran Hilang Upaya.

 

KWSP mengingatkan ahli, terutama mereka yang terdesak memerlukan wang, agar tidak menggunakan khidmat ejen atau sindiket untuk membuat sebarang pengeluaran KWSP. Ejen atau sindiket ini yang mengenakan bayaran, lazimnya akan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui laman web dan mengedarkan kad perniagaan serta risalah.

 

“KWSP menggesa ahli untuk berhubung terus dengan KWSP sekiranya ingin membuat sebarang pengeluaran kerana ia lebih cepat dan mudah, tanpa dikenakan sebarang caj,” kata Dato’ Mohd Naim, beliau turut menambah KWSP tidak pernah melantik ejen atau orang tengah untuk membantu ahli mengeluarkan simpanan KWSP mereka.

 

Beliau berkata, walaupun KWSP membenarkan ahli membuat pengeluaran sebelum persaraan, ahli dinasihatkan agar mengeluarkan simpanan KWSP sekiranya ia benar-benar perlu kerana objektif utama simpanan KWSP adalah untuk persaraan mereka.

 

KWSP mempunyai sistem komprehensif yang berupaya mengesan kes penipuan pengeluaran walaupun selepas simpanan tersebut berjaya dikeluarkan serta percubaan untuk menipu, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bersalah.

 

Ahli yang berdepan dengan sebarang kegiatan penipuan atau cubaan untuk menipu berkaitan pengeluaran KWSP digesa melaporkannya dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.