Kemaskini terakhir : 10/06/2019 11:45     

KWSP: Dakwaan Mengubah Penamaan Adalah Palsu

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan mesej audio yang kini tersebar di media sosial dan aplikasi mudah alih WhatsApp yang mendakwa penamaan ahli telah digantikan dengan nama orang lain yang tiada kaitan hubungan, sebagai palsu dan tidak berasas sama sekali. KWSP memandang serius tindakan menyebarkan maklumat dengan niat untuk menimbulkan kekeliruan dan keresahan di kalangan ahli, serta akan mengambil tindakan tegas sebagaimana diperlukan.

 

Siasatan kami tidak menemui sebarang rekod mengenai kes seperti yang dinyatakan oleh individu dalam mesej audio tersebut. Sekiranya ahli mendapati maklumat penamaan mereka tidak tepat, ahli diminta supaya membuat aduan terus kepada KWSP supaya masalah dapat diselesaikan. Ahli digesa supaya tidak terpengaruh dengan mesej palsu seperti ini serta tidak menyebarkan mesej di laman sosial mahupun melalui WhatsApp.

 

Proses penamaan KWSP adalah sulit. Hanya ahli sendiri yang dibenarkan membuat perubahan atau pengemaskinian ke atas penama mereka. Ahli adalah dikehendaki untuk hadir sendiri ke cawangan KWSP, kerana cap ibu jari mereka diperlukan sebagai pengesahan proses penamaan.

 

Ahli digalakkan untuk sentiasa menyemak akaun KWSP mereka dan hadir ke mana-mana cawangan KWSP sekiranya berhasrat untuk mengemaskini butiran penamaan. Untuk maklumat lanjut, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-89226000.

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 31 Oktober 2017