Kemaskini terakhir : 07/03/2019 4:28     

KWSP Umum Prestasi Operasi S2 2018

KUALA LUMPUR, 4 September 2018: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan peningkatan ketara dalam jumlah permohonan diluluskan untuk pengeluaran fleksibel berbanding pengeluaran penuh. Di dalam laporan prestasi operasi untuk suku tahun kedua (S2 2018), KWSP merekodkan kenaikan 48.65 peratus dalam permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun  kepada 67,969 daripada 45,723 dalam suku tahun yang sama pada 2017.

 

Jumlah pengeluaran dibuat untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun adalah RM2.92 bilion dalam S2 2018, berbanding RM1.78 bilion pada S2 2017. Permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 60 Tahun pula merekodkan peningkatan 43.16 peratus kepada 40,276 (RM861.30 juta) dalam S2 2018 daripada 28,133 (RM637.61 juta) dalam S2 2017.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Dato’ Mohd Naim Daruwish berkata, “Kami sangat sukacita bahawa jumlah pengeluaran fleksibel mencatatkan peningkatan yang mantap setiap suku tahun. Ini membuktikan bahawa lebih ramai ahli memilih untuk mengekalkan sebahagian daripada simpanan mereka dalam KWSP untuk terus menerima dividen ke atas baki simpanan mereka.

 

“Terdapat beberapa pilihan di bawah Pengeluaran Fleksibel dan kami amat menggalakkan ahli yang telah mencapai umur 55 atau 60 tahun untuk mendapatkan nasihat percuma daripada Perkhidmatan Nasihat Persaraan (RAS) kami berkenaan pilihan yang tepat mengikut keadaan kewangan dan keperluan sebelum memutuskan jenis pengeluaran yang ingin dibuat.”

 

Beliau menambah bahawa KWSP telah merekodkan peningkatan ketara dalam jumlah pelanggan, termasuk pelanggan yang mengulangi kunjungan ke 28 kaunter RAS di seluruh negara. Untuk S2 2018, jumlah pengunjung kaunter RAS berkembang 27.42 peratus 16,696 daripada 13,103 dalam suku tahun yang sama tahun lepas.

 

“Keberkesanan RAS menggalakkan kami untuk terus meneroka kaedah untuk menambahbaik dan memantapkan lagi aktiviti kami. Ini termasuk mendekati lebih ramai pelanggan untuk meningkatkan kesedaran serta pemahaman di kalangan ahli kami dalam mengurus kewangan dan simpanan peribadi demi masa depan persaraan yang lebih baik,” kata Dato’ Mohd Naim.

 

Di dalam suku tahun yang dikaji, jumlah permohonan diluluskan untuk kesemua pengeluaran meningkat 4.87 peratus kepada 598,919 daripada 571,130 dalam S2 2017. Ini termasuk jumlah yang dikeluarkan dalam S2 2018 sebanyak RM12.65 bilion, berbanding RM12.48 bilion dalam suku tahun yang sama pada 2017.

 

Jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun dalam S2 2018 jatuh 50.45 peratus kepada 20,769 (RM1.30 bilion) daripada 41,914 (RM2.51 bilion) dalam suku tahun sama pada 2017. Permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 60 Tahun merekodkan peningkatan kecil sebanyak 8.97 peratus kepada 15,554 (RM291.32 juta) dalam S2 2018 daripada 14,273 (RM366.20 juta) dalam S2 2017.

 

Jumlah ahli KWSP mencecah 13,996,515, di mana 7,213,774 merupakan ahli aktif mencarum dengan pendaftaran ahli baru seramai 115,125 dalam S2 2018. Dalam suku tahun yang dikaji juga menyaksikan penurunan 2.57 peratus dalam jumlah pendaftaran majikan baru kepada 14,568 daripada 14,952 dalam S2 2017, menjadikan keseluruhan jumlah majikan berdaftar dengan KWSP sehingga akhir Jun 2018 kepada 499,321.

 

Selaras dengan peningkatan jumlah ahli, KWSP merekodkan 9.99 peratus kenaikan dalam jumlah caruman diterima dalam suku tahun kedua kepada RM18.17 bilion daripada RM16.52 bilion dalam suku tahun sama tahun lepas, menjadikan keseluruhan jumlah caruman terkumpul sebanyak RM780.07 bilion, naik 9.55 peratus daripada RM712.04 bilion dalam S2 2017.

 

Perkhidmatan elektronik dan layan diri KWSP yang pelbagai terus merekodkan perkembangan yang membanggakan.  Di dalam suku tahun  yang dikaji, penggunaan i-Akaun naik 72.02 peratus kepada 9.55 juta berbanding 5.55 juta dalam S1 2017. Melalui i-Akaun, ahli boleh mengemukakan permohonan untuk pengeluaran perumahan atau pendidikan menerusi e-Pengeluaran, manakala majikan boleh mengemukakan maklumat caruman (Borang A) dan membuat bayaran caruman secara dalam talian melalui e-Caruman.

 

Dalam S2 2018, sebanyak 58,304 permohonan dihantar melalui e-Pengeluaran telah diluluskan dan berjumlah RM3.23 bilion. Daripada jumlah ini, sebanyak 36,101 permohonan (RM1.62 bilion) adalah untuk Pengeluaran Pendidikan. Bermula April 2018, kesemua penghantaran permohonan Pengeluaran Pendidikan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi pemberi pinjaman (IPP) yang telah menyertai e-Pengeluaran hendaklah dilakukan secara dalam talian dan penghantaran melalui kaunter tidak lagi diterima.

 

Setakat Jun 2018, sebanyak 424,279, atau 99.97 peratus, majikan telah menggunakan e-Caruman untuk menghantar maklumat caruman (Borang A) manakala 354,888, atau 83.89 peratus, majikan menggunakan sistem e-Bayaran untuk membuat pembayaran caruman sebanyak RM4.07 bilion.

 

“Kami amat sukacita kerana telah mencapai pelan strategik kami untuk memastikan lebih 60 peratus jumlah majikan menggunakan saluran elektronik kami untuk menghantar maklumat caruman serta membuat pembayaran caruman. Kami berharap untuk melihat lebih banyak perkembangan positif dalam pelan transformasi kami untuk menjadi organisasi digital, selaras dengan perubahan demografi dan jangkaan ahli,” kata Dato’ Mohd Naim.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan KWSP, ahli boleh merujuk laman web KWSP di new.epf.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP (CMC) di 03-8922 6000 atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP seluruh negara. Untuk mendaftar i-Akaun, ahli perlu mendapatkan kod pengaktifan melalui Kios KWSP, kaunter KWSP atau menghubungi CMC dari 8 pagi hingga 6 petang setiap hari bekerja.  Ahli juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi i-Akaun secara percuma melalui Google Play atau Apple App Store.

 

S2 2018 Statatisik Operasi (Petunjuk 1-5)

S2 2018 Statatisik Operasi (Petunjuk 6)

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya. Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar. KWSP terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.