Kemaskini terakhir : 25/01/2019 3:07     

KWSP Umumkan Prestasi Operasi S3 2018

Penggunaan i-Akaun terus catat peningkatan ketara

 

KUALA LUMPUR, 27 Disember 2018: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  melaporkan penggunaan kemudahan dalam talian i-Akaun mencatatkan peningkatan 83.45 peratus kepada 11.09 juta dalam suku tahun ketiga 2018 (S3 2018) berbanding 6.04 juta dalam suku tahun yang sama tahun lepas.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Operasi) Dato’ Mohd Naim Daruwish berkata, “Saluran dalam talian dan layan diri KWSP terus mencatatkan peningkatan yang memuaskan dan penurunan dalam kunjungan ke kaunter dan penggunaan kiosk.  Ini adalah selari dengan usaha strategik kami untuk mecapai tidak kurang daripada 80 peratus ahli menggunakan saluran layan sendiri kami.

 

"Kami secara aktif menyarankan ahli untuk mendaftar i-Akaun kerana ia membolehkan mereka untuk menyemak akaun mereka secara lebih dekat selain menjalankan transaksi dengan KWSP dengan lebih mudah atau ‘hassle-free’.  Dalam usaha untuk mengurangkan transaksi secara manual, kami telah menambahbaik kemudahan e-Pengeluaran melalui i-Akaun yang akan menyaksikan perkhidmatan hujung-ke-hujung (end-to-end) dalam proses permohonan pengeluaran selain penambahan ciri-ciri baharu.”

 

Di dalam suku tahun yang dikaji, jumlah pengeluaran diluluskan untuk kesemua jenis pengeluaran meningkat 6.93 peratus kepada 616,835 daripada 576,836 dalam S3 2017.  Jumlah amaun pengeluaran walau bagaimanapun menurun sedikit kepada RM11.52 juta daripada RM11.68 million dalam suku tahun yang sama tahun lepas.

 

Jumlah pengeluaran diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun dalam S3 2018 jatuh 53.60 peratus kepada 16,726 (RM907.35 juta) daripada 36,045 (RM2 bilion) dalam suku tahun yang sama pada 2017.  Pengeluaran diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 60 Tahun mencatatkan peningkatan 15 peratus kepada 14,733 (RM217.77 juta) dalam S3 2018 daripada 12,811 (RM280.66 juta) dalam S3 2017.

 

Dalam S3 2018, KWSP juga mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah pengeluaran fleksibel berbanding pengeluaran penuh.  Dalam suku tahun yang dikaji, KWSP mencatatkan 57.76 peratus kenaikan dalam jumlah permohonan diluluskan untuk pengeluaran fleksibel umur 55 tahun kepada 70,955 daripada 44,976 dalam suku tahun yang sama pada 2017.

 

Jumlah amaun dikeluarkan di bawah Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun adalah RM2.72 bilion dalam S3 2018, berbanding RM1.80 bilion dalam S3 2017. Jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 60 Tahun meningkat 45.70 peratus kepada 43,289 (RM791.95 juta) dalam S3 2018 daripada 29,712 (RM662.05 juta) dalam S3 2017.

 

Sehingga akhir September 2018, jumlah ahli KWSP adalah 14,091,141, di mana 7,196,502 adalah pencarum aktif, dengan 138,376 merangkumi jumlah pendaftaran ahli baru. Dalam suku tahun yang dikaji juga menyaksikan peningkatan 10.74 peratus dalam jumlah majikan baru kepada 17,791 daripada 16,065 dalam S3 2017, seterusnya menjadikan jumlah majikan keseluruhan sehingga akhir September 2018 kepada 504,090.

 

Selaras dengan peningkatan dalam pendaftaran ahli dan majikan baru, KWSP juga merekodkan peningkatan 11.56 peratus dalam caruman diterima dalam suku tahunketiga kepada RM16.91 bilion daripada RM15.16 bilion dicatatkan dalam suku tahun yang sama tahun lepas, menjadikan jumalh terkumpul caruman kepada RM785.59 bilion, peningkatan 9.72 peratus daripada RM715.97 bilion dalam S3 2017.

 

KWSP juga mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah kunjungan, termasuk oleh pengunjung berulang, ke 28 kaunter Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) di seluruh negara. Untuk S3 2018, jumlah ahli berkunjung ke kaunter RAS meningkat 39.97 peratus kepada 18,660 daripada 13,331 dalam suku tahun yang sama tahun lepas.

 

Dato’ Mohd Naim berkata, “Kami sangat sukacita melihat perkembangan menggalakkan yang dicapai oleh RAS sehingga kini dan kami yakin bahawa ia akan menjadi antara pendorong utama transformasi KWSP kepada organisasi yang berasakan advisori.”

 

Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan kemudahan KWSP, ahli boleh merujuk laman web KWSP di new.epf.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan (CMC) KWSP di 03-8922600, atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP seluruh negara.  Untuk mendaftar i-Akaun, ahli boleh mendapatkan kod pengaktifan melalui Kios KWSP, kaunter KWSP atau hubungi CMC dari 8 pagi hingga 6 petang.  Ahli juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi mudah alih i-Akaun secara percuma melalui Google Play atau Apple App Store.

 

 

Q3_2018_Statistik_Operasi-(Petunjuk 1-5)

Q3_2018_Statistik_Operasi (Petunjuk 6)

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.