Kemaskini terakhir : 11/03/2019 5:22     

Waspada Dengan SMS Palsu, Penipuan Melalui Emel Dan Whatsapp

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahli supaya berwaspada dengan pelbagai mesej palsu dan penipuan yang tersebar melaui media sosial, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp. 

 

1.    Sekatan ke atas akaun KWSP

KWSP telah mengenal pasti satu mesej SMS palsu yang dihantar kepada ahli, yang menyatakan bahawa akaun KWSP ahli akan disekat dalam tempoh 24 jam melainkan ahli menghubungi nombor telefon bimbit yang tertera (lihat petikan skrin mesej SMS). KWSP sekali lagi ingin menegaskan bahawa mesej ini adalah PALSU dan bukan dihantar oleh KWSP.

 

Mesej rasmi daripada KWSP akan memaparkan kod ringkas (shortcode) lima digit sebagai ID penghantar, dan tidak dihantar kepada ahli melalui nombor telefon bimbit peribadi.

 

          Petikan skrin SMS palsu

 

2.    Sindiket pengeluaran simpanan

Sindiket atau agen sedang giat mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial dan menawarkan kepada ahli khidmat mengeluarkan simpanan KWSP mereka dengan dikenakan bayaran tertentu. Terdapat juga kes yang melibatkan penyerahan dokumen palsu untuk mendapatkan kelulusan permohonan pengeluaran.

 

KWSP tidak melantik atau mengiktiraf mana-mana pihak ketiga untuk mengendalikan permohonan pengeluaran ahli. Ahli yang ingin membuat pengeluaran boleh berurusan secara terus dengan KWSP tanpa sebarang pembayaran.

 

 

Ahli disarankan supaya berwaspada apabila menerima sebarang mesej melibatkan KWSP dan tidak terpengaruh dengan mesej palsu sebegini. Ahli juga perlu elak daripada menghubungi nombor telefon yang tertera pada SMS/WhatsApp atau berurusan dengan penghantar mesej palsu tersebut.

 

KWSP memandang serius tindakan sengaja menyebarkan maklumat yang bertujuan menimbulkan kekeliruan dan keresahan ahli, serta mana-mana cubaan memancing data (phishing) yang bertujuan memperoleh maklumat akaun ahli KWSP secara penipuan.

 

Untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000 atau berkunjung ke mana-mana kaunter KWSP berdekatan. Ahli juga boleh rujuk kenyataan balas KWSP terhadap maklumat palsu di pautan ini: http://www.kwsp.gov.my/portal/ms/web/kwsp/general/chain-emails.

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 15 Jun 2017