Kemaskini terakhir : 06/07/2021 5:42     

KWSP BUKA SEMULA KAUNTER BAGI PERKHIDMATAN TERTENTU DI PEJABAT CAWANGAN DALAM KAWASAN PKPD DARI 7 JULAI 2021

KUALA LUMPUR, 6 Julai 2021: Selaras dengan pengumuman oleh Majllis Keselamatan Negara (MKN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuka semula beberapa pejabat cawangan dan kaunter perkhidmatan di Selangor dan Pahang untuk perkhidmatan tertentu bermula 7 Julai 2021.

Pejabat cawangan dan kaunter perkhidmatan yang terlibat ialah KWSP Rawang, Shah Alam, Petaling Jaya, Puchong, Klang, Kajang, dan Gombak di Selangor, dan KWSP Kuantan, Pekan dan Jerantut di Pahang, yang akan beroperasi daripada jam 9.00 pagi sehingga 1.00 petang pada hari bekerja. Pejabat dan kaunter KWSP yang berada di luar kawasan PKPD akan terus beroperasi daripada jam 8.30 pagi hingga jam 2.00 petang seperti yang diumumkan sebelum ini.

Pembukaan semula pejabat cawangan dan kaunter perkhidmatan ini adalah bagi memenuhi keperluan ahli yang ingin membuat transaksi tertentu seperti berikut:

  • Pengeluaran Umur 50, 55, 60 Tahun
  • Pengeluaran Kesihatan
  • Pengeluaran Kematian
  • Penyerahan Arahan Bayaran (PO) dan cek jurubank untuk pengeluaran yang dibuat

Ahli dikehendaki untuk membuat temujanji melalui Janji Temu Online (JTO) di www.kwsp.gov.my. Pihak KWSP akan menghubungi ahli bagi urusan penyerahan Arahan Bayaran (PO) dan cek jurubank untuk pengeluaran yang telah dibuat oleh ahli.

Ahli yang berkunjung ke mana-mana pejabat cawangan dan kaunter perkhidmatan KWSP hendaklah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). Pengambilan suhu dan daftar masuk melalui aplikasi MySejahtera adalah wajib sebelum memasuki mana-mana premis KWSP, dan pengamalan penjarakan sosial perlu dipatuhi setiap masa.

KWSP amat menggalakkan ahli untuk menggunakan i-Akaun (Ahli) atau i-Akaun (Majikan) untuk transaksi yang boleh dibuat secara dalam talian.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000 atau melayari laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my. Untuk maklumat lanjut mengenai i-Citra, ahli boleh menghubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848.

 


Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
6 Julai 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.