Kemaskini terakhir : 10/03/2020 10:21     

KWSP SAHKAN KES COVID-19 DI CAWANGAN KWSP KUALA LUMPUR, JALAN RAJA LAUT

KUALA LUMPUR, 10 Mac 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dimaklumkan bahawa seorang ahli KWSP telah disahkan positif COVID-19 dan diwadkan untuk rawatan lanjut.

 

Ahli tersebut telah berurusan di pejabat KWSP Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut pada 27 Februari 2020 (2.00 – 2.30 petang)  dan disahkan positif pada 3 Mac 2020. Namun, tiada sebarang pengesahan sama ada ahli tersebut telah dijangkiti COVID-19 sebelum beliau berurusan di pejabat KWSP.

 

Kami telah mengenal pasti pegawai KWSP yang berkemungkinan terdedah kepada ahli tersebut dan telah menghantar mereka untuk menjalani pemeriksaan. Pegawai-pegawai lain dari pejabat tersebut juga dikuarantin. KWSP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjutan.

 

Langkah proaktif telah diambil dengan menutup pejabat tersebut sehingga 13 Mac 2020 (Jumaat) untuk menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran. Pejabat KWSP ini akan beroperasi semula pada 16 Mac 2020 (Isnin).

 

Untuk makluman ahli, KWSP juga telah menjalankan langkah-langkah awal pencegahan sejak Februari 2020 untuk meminimumkan risiko pendedahan kepada COVID-19. Semua kaunter dan permukaan yang terdedah di premis KWSP dibersihkan secara berterusan sepanjang hari. Pegawai kaunter juga diperlukan untuk membersihkan tangan mereka setiap 30 minit. Pelawat-pelawat juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis KWSP.

 

Sementara itu, kaunter-kaunter KWSP di lokasi lain akan beroperasi seperti biasa. Namun, ahli digalakkan untuk membuat transaksi secara dalam talian melalui aplikasi i-Akaun kecuali bagi urusan yang memerlukan kehadiran ke kaunter KWSP. Ahli juga dinasihatkan untuk mengunjungi penyedia perkhidmatan kesihatan yang terdekat sekiranya mempunyai simptom-simptom yang berkaitan, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan memakai peralatan perlindungan diri yang bersesuaian sebelum berurusan di kaunter.

 

KWSP juga ingin meyakinkan semua anggota, ahli dan majikan bahawa kami sentiasa memantau perkembangan terkini COVID-19 dan akan melaksanakan sebarang langkah-langkah pencegahan yang diperlukan. Sebarang kesulitan yang dialami sewaktu pelaksanaan langkah-langkah ini adalah amat dikesali dan kami akan memaklumkan tentang situasi terkini dari semasa ke semasa.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

[email protected]

10 Mac 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.