Kemaskini terakhir : 12/03/2019 12:18     

KWSP Sahkan Simpanan Pesara Kerajaan Tidak Hilang

Merujuk kepada laporan berita Sinar Harian bertarikh 5 Disember 2016, bertajuk Wang Simpanan KWSP Lesap, mengenai dakwaan seorang pesara kerajaan yang kehilangan wang simpanannya, KWSP telah mengambil tindakan segera untuk menyiasat dakwaan tersebut, termasuk membuat lawatan ke rumah ahli untuk mendapatkan cap jari bagi tujuan pengesahan. Hasil siasatan dalaman, KWSP mendapati cap jari ahli tersebut adalah sepadan dengan cap jari sepertimana yang terdapat di dalam rekod pendaftaran ahli KWSP, serta pada borang-borang pengeluaran yang telah dikemukakan. Tambahan pula, pihak KWSP turut mengesahkan bahawa cap jari ahli sepadan dengan cap jari yang diturunkan pada kedua-dua cek yang telah ditunaikan berikutan pengeluaran simpanan KWSP pada tahun 1990 dan 1993, berjumlah sebanyak RM8,199.71.

 

Adalah menjadi tanggungjawab KWSP untuk sentiasa menjaga dan memastikan simpanan persaraan ahli selamat. KWSP menggalakkan semua ahli untuk menyemak maklumat mengenai akaun mereka di mana-mana cawangan berdekatan sekiranya terdapat sebarang kemusykilan. Ahli juga digalakkan untuk mendaftar i-Akaun agar pemantauan  perkembangan akaun KWSP mereka boleh dibuat pada bila-bila masa.

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 7 Disember 2016