Kemaskini terakhir : 15/03/2019 3:43     

KWSP Terus Perangi Penipuan Pengeluaran

8 Ahli KWSP Didakwa dan Dijatuhi Hukuman Oleh Mahkamah

 

Seramai lapan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah didapati bersalah oleh mahkamah atas kesalahan menipu pengeluaran KWSP di antara April hingga Jun 2009. Tindakan tegas diambil terhadap ahli tersebut sejajar dengan usaha berterusan KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli.

 

“KWSP telah melancarkan Polisi Anti-Fraud dan Pendedahan Maklumat pada awal tahun ini bagi mencegah dan mengesan kegiatan fraud dan salah laku dengan lebih berkesan. Inisiatif tersebut berserta tindakan tegas KWSP dalam membanteras kes fraud, membolehkan beberapa kes percubaan menipu dan penipuan pengeluaran dikesan,” kata Encik Nik Affendi Jaafar, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP.

 

Semua lapan ahli terbabit telah dihukum dan dikenakan denda oleh mahkamah dengan dua daripada mereka berkemungkinan dipenjarakan sekiranya gagal membayar denda itu.

 

Setakat 30 Jun 2009, sejumlah 65 saman mahkamah telah difailkan bagi kesalahan menipu pengeluaran. Semua ahli terbabit, termasuk lapan ahli yang dijatuhi hukuman telah didakwa di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991.

 

Di bawah Akta tersebut, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

“KWSP sedar ada di kalangan ahli yang bukan bertindak secara bersendirian tetapi dibantu oleh pihak ketiga atau sindiket yang mensasarkan ahli yang terdesak dan dalam kesempitan wang. Ahli dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan sindiket terbabit kerana tujuan utama bukanlah untuk membantu ahli tetapi untuk mengambil kesempatan di atas kesusahan yang sedang dihadapi mereka,” kata Encik Nik Affendi.

 

Sebelum ini, beberapa kes penipuan yang melibatkan pengeluaran pendidikan, kesihatan dan perumahan berjaya dikesan apabila ahli menyerahkan dokumen palsu bagi menyokong permohonan pengeluaran itu. Ahli terbabit telah didakwa dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

 

“Kami ingin menegaskan kepada ahli bahawa KWSP mempunyai toleransi sifar terhadap kegiatan fraud. Untuk melindungi simpanan ahli, KWSP akan sentiasa berusaha gigih untuk memastikan simpanan ahli selamat bagi persaraan mereka kelak,” kata Encik Nik Affendi.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.