Kemaskini terakhir : 15/03/2019 11:01     

Empat Ahli Disabitkan Kesalahan Oleh Mahkamah Menipu Pengeluaran Perumahan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan empat ahli telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah bagi tempoh suku tahun pertama 2013 (Januari – Mac 2013) kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran perumahan.

 

Empat ahli berkenaan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan didenda berjumlah RM6,200 oleh mahkamah. Semua mereka berhadapan dengan hukuman penjara sehingga tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “Hukuman yang dijatuhi terhadap ahli ini menunjukkan toleransi sifar KWSP terhadap segala bentuk penipuan. KWSP sebagai pemegang amanah simpanan persaraan ahli tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang cuba menipu.”

 

Dalam tempoh yang sama, sejumlah 10 saman mahkamah telah difailkan untuk penipuan pengeluaran.

 

Penipuan pengeluaran yang melibatkan penghantaran dokumen palsu oleh ahli bagi memperoleh kelulusan pengeluaran daripada akaun KWSP mereka sendiri, merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta KWSP 1991. Di bawah Akta ini, ahli yang didapati bersalah kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran boleh dikenakan hukuman maksimum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali. 

 

Sekiranya disabitkan kesalahan, ahli yang memulangkan wang yang dikeluarkan secara tidak sah dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan.

 

“KWSP sentiasa memantau ahli yang terlibat. Mereka yang gagal memulangkan amaun yang dikeluarkan selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya,” kata Nik Affendi.

 

KWSP mempunyai sistem komprehensif yang berupaya untuk mengesan dan mengenal pasti ahli yang membuat penipuan pengeluaran walaupun setelah simpanan berjaya dikeluarkan.

 

Nik Affendi mengingatkan ahli, terutama mereka yang terdesak memerlukan wang, agar berhati-hati terhadap sindiket yang kononnya menawarkan bantuan untuk mengeluarkan simpanan KWSP dengan dikenakan bayaran yang tinggi.

 

Ahli yang layak dan berhasrat membuat pengeluaran daripada akaun KWSP mereka dinasihatkan agar berurusan terus dengan KWSP yang menawarkan perkhidmatan secara percuma.

 

Ahli digesa memberikan sokongan terhadap KWSP dalam membanteras penipuan pengeluaran. Mereka yang ingin melaporkan sebarang kegiatan atau percubaan menipu boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.