Kemaskini terakhir : 08/04/2019 2:29     

KWSP Mengkreditkan Bayaran Insentif Kerajaan Berjumlah RM9.51 Juta Untuk Skim i-Suri

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan ia telah mengkreditkan bayaran insentif yang diluluskan oleh Kerajaan berjumlah RM9.51 juta ke dalam akaun ahli Caruman Sukarela i-Suri untuk tahun 2018. Jumlah ini merujuk kepada insentif RM40 sebulan yang dikreditkan ke dalam akaun KWSP ahli i-Suri seramai 49,857 yang telah membuat caruman minimum bulanan sebanyak RM5.

 

Ahli i-Suri boleh menyemak akaun mereka secara dalam talian, melalui Kios KWSP atau di mana-mana cawangan KWSP seluruh negara bermula hari ini.

 

KWSP menggalakkan lebih ramai isteri kepada ketua isi rumah atau ketua isi rumah wanita yang profilnya didaftarkan di Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih), untuk menyertai i-Suri. Ahli hanya perlu membuat caruman minimum sebanyak RM5 setiap bulan ke dalam akaun simpanan persaraan mereka bagi melayakkan menerima insentif Kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan.

 

Sebagai tambahan kepada insentif Kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan, individu yang menepati kelayakan dan membuat pendaftaran i-Suri akan menikmati manfaat yang sama sebagaimana ahli KWSP, seperti dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, Pengeluaran Simpanan KWSP, Bantuan Hilang Upaya dan Bantuan Kematian.

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 5 April 2019