Kemaskini terakhir : 22/02/2020 1:09     

KWSP CATAT PRESTASI BAIK DALAM EKONOMI 2019 YANG MENCABAR

  • Lokasi Aset Strategik menunjukkan keberkesanan dalam ekonomi mencabar 
  • Pendapatan tetap memberikan kestabilan semasa turun naik 
  • Aset dibawah pengurusan meningkat kepada RM924.75 bilion
  • Pelancaran platform i-Invest menyaksikan peningkatan pendaftaran sebanyak 10,000 ahli

KUALA LUMPUR, 22 Februari 2020: Kumpulan Wang SImpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan prestasi kukuh untuk 2019 yang disumbangkan oleh operasi dan kewangan, seterusnya membolehkan KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 5.45% dengan jumlah agihan sebanyak RM41.68 bilion untuk Simpanan Konvensional.

 

Dengan ini, KWSP telah memberikan 2.95% melebihi kadar yang dimandatkan di bawah Akta KWSP 1991, yang memerlukan pengisytiharan dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5% setiap tahun. Di samping itu, dividen purata tiga tahun KWSP untuk Simpanan Konvensional selepas penyelarasan inflasi, adalah 4.33%, iaitu 2.33% melebihi sasaran tiga tahun KWSP sebanyak 2.00%.

 

Jumlah keseluruhan aset KWSP meningkat kepada RM924.75 bilion berikutan peningkatan keahlian sebanyak 2.8% kepada 14.6 juta, manakala jumlah majikan berdaftar meningkat 3% kepada 522,300. Terdapat juga peningkatan 24.6% pelanggan i-Akaun kepada 7.6 juta.

 

Tahun 2019 juga menyaksikan KWSP meningkatkan pelbagai penambahbaikan kepada ahlinya. Pelancaran i-Invest pada bulan Ogos 2019 telah membantu ahli membuat keputusan bermaklumat dalam pelaburan unit amanah, yang menyaksikan lebih 10,000 ahli membuat transaksi bernilai RM81.8 juta. Bilangan ahli yang menggunakan Khidmat Nasihat Persaraan juga terus berkembang sejak penubuhannya pada 2014, dan telah memberi manfaat kepada lebih 83,000 ahli. Di samping itu, jumlah pendaftaran i-Saraan meningkat kepada 137,000 manakala pendaftaran untuk i-Suri meningkat kepada 88,500, menandakan pertumbuhan kukuh bagi kedua-dua produk.

 

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias ​​berkata, "Seperti yang dijangkakan, kita telah menyaksikan turun naik yang ketara pada tahun 2019 berbanding 2018. Tahun 2019 mencerminkan realiti hidup dunia VUCA. Pelbagai isu di pasaran global yang masih belum selesai dan terdapat pula beberapa isu baru yang timbul. Terdapat tiga kali potongan kadar faedah telah dibuat oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, perang dagangan AS-China yang berterusan dan masih belum menunjukkan jalan penyelesaian serta ketidakpastian sekitar perundingan Brexit. Kami juga tidak menjangkakan bahawa rusuhan di Hong Kong akan berlarutan dan terus menambahkan tekanan ke atas pasaran timur jauh."

 

"Tambahan lagi, pasaran domestik mengalami kesukaran untuk menyokong keupayaan penjanaan pendapatan KWSP di mana 70% aset KWSP adalah dalam Malaysia, sebahagian besarnya dalam ekuiti domestik.

 

"Walau bagaimanapun, Alokasi Aset Strategik dan struktur membuat keputusan kami menyediakan suatu sistem yang menyeluruh yang menjadi panduan serta perlindungan dari ketidaktentuan dan suasana yang mencabar. Ini telah membantu kami untuk memenuhi mandat ahli dengan terus memelihara dan mengembangkan simpanan mereka, dan kami berbesar hati dapat memberikan keputusan yang lebih baik daripada yang dijangkakan. "

 

"Pencapaian ini adalah hasil daripada strategi diversifikasi jangka panjang yang membolehkan kami untuk melakukan yang terbaik walaupun dalam keadaan yang sukar," katanya. "KWSP sentiasa berpendapat bahawa pegangan luar negara adalah asas dan penting dalam keseluruhan portfolio kami, dan telah  beberapa kali menyatakan usaha kami untuk meneruskan diversifikasi bagi mengurangkan risiko penumpuan".

 

Alizakri juga berkata, "Kami menjangkakan tahun 2020 akan menjadi lebih mencabar daripada 2019, dengan kesan wabak virus COVID-19 yang mempengaruhi kelembapan pertumbuhan global. Perang dagangan AS-China masih lagi tidak menunjukkan tanda ia akan berakhir, antara risiko terhadap pemulihan ekonomi yang lain. Kami berharap pasaran domestik akan berdaya tahan, terutamanya berikutan pakej ransangan kerajaan yang bakal diumumkan yang akan membantu menyokong sentimen pelabur dan pengguna. "

 

Alizakri juga memberi jaminan kepada ahli bahawa KWSP maklum dengan tekanan yang sedang meningkat dalam dekad baharu. "Untuk 2020 dan tahun-tahun akan datang, kami akan terus memberikan tumpuan untuk menyampaikan bukan sahaja dividen kewangan tetapi juga untuk memberikan dividen sosial kepada ahli kami. Kami ingin ahli memperkasakan diri mereka dengan ilmu yang membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan mengecapi masa depan yang lebih baik. "

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

[email protected]

22 Februari 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.