Kemaskini terakhir : 15/03/2019 11:21     

Lapan Ahli Didapati Bersalah Menipu Pengeluaran Perumahan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan bahawa lapan ahli telah didapati bersalah dan didenda berjumlah RM13,300 oleh mahkamah bagi suku tahun ketiga 2012 (S3 2012) kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran perumahan.

 

Denda yang dikenakan oleh mahkamah ialah antara RM800 dan RM3,000. Lima daripada lapan ahli berkenaan berkemungkinan dikenakan hukuman penjara sehingga dua bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar berkata, "Pendirian tegas KWSP terhadap penipuan pengeluaran membuktikan komitmen KWSP dalam membanteras penipuan pengeluaran di kalangan ahli serta mengulangi ketegasan polisi toleransi sifar KWSP terhadap sebarang bentuk penipuan.

 

"Penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan permohonan pengeluaran daripada akaun simpanan KWSP mereka sendiri adalah satu kesalahan serius dan ahli yang didapati bersalah boleh dikenakan denda dan penjara."

 

Lapan ahli terbabit telah didakwa di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991. Di bawah Akta KWSP, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

"Sebagai pemegang amanah kepada simpanan ahli, KWSP ingin menegaskan bahawa simpanan KWSP adalah untuk membiayai kehidupan semasa persaraanAhli sendiri yang akan rugi jika mereka cuba mengeluarkan simpanan KWSP melalui cara yang tidak sah,” tegas Nik Affendi.

 

Beliau mengingatkan ahli agar tidak menjadi mangsa dalam penipuan pengeluaran sama ada dilakukan sendiri atau bersubahat dengan pihak lain.

 

"Terdapat banyak kes di mana ahli yang didapati bersalah telah dibantu oleh sindiket yang mensasarkan ahli yang terdesak memerlukan wang. Mereka ini ditawarkan bantuan dengan dikenakan bayaran yang tinggi."

 

Ahli yang layak dan ingin membuat permohonan pengeluaran diingatkan agar terus berurusan dengan KWSP yang menawarkan perkhidmatan secara percuma.

 

Ahli digesa memberikan sokongan mereka terhadap usaha KWSP membanteras penipuan pengeluaran. Mereka yang ingin melaporkan sebarang kegiatan atau percubaan penipuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya. Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar. KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.