Kemaskini terakhir : 11/03/2019 5:15     

KWSP Tambah Baik Proses Pengeluaran

KUALA LUMPUR, 5 Julai 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa bermula 21 Julai 2017, ahli boleh menyelesaikan baki pinjaman pendidikan mereka menggunakan simpanan dari Akaun 2 di bawah skim Pengeluaran Pendidikan tanpa terhad kepada tarikh kuatkuasa perjanjian pinjaman pendidikan masing-masing.

 

Penambahbaikan ini akan menggantikan syarat semasa Pengeluaran Pendidikan dari Akaun 2 seperti yang tertakluk di dalam jadual berikut:

 

Peringkat Pengajian

Tarikh Perjanjian Pinjaman Layak untuk Pengeluaran dari Akaun 2

Syarat Semasa

Syarat Baru (berkuatkuasa
21 Julai 2017)

Pembiayaan pengajian anak ahli di peringkat Ijazah dan ke atas serta yang setara dengannya

1 April 2000

Terbuka kepada semua tarikh kuatkuasa pinjaman (tertakluk kepada syarat pengeluaran)

Pembiayaan pengajian ahli di peringkat Diploma dan ke atas serta yang setara dengannya

2 Januari 2001

Pembiayaan pengajian ahli dan anak ahli di peringkat Diploma dan ke atas serta yang setara dengannya

17 Januari 2006

 

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Dato’ Mohd Naim Daruwish berkata, “Penambahbaikan ke atas polisi ini dilakukan setelah mengambilkira maklum balas ahli yang mengalami kesukaran untuk mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman pendidikan menggunakan simpanan KWSP mereka.

 

“Pihak KWSP sentiasa sedia memberikan pengalaman positif kepada ahli dan berusaha melakukan penambahbaikan di samping memenuhi mandat kami. Sukacita kami maklumkan bahawa penambahbaikan ini boleh memberi manfaat kepada hampir 70,000 ahli yang masih belum menyelesaikan baki pinjaman pendidikan mereka.”

 

Penambahbaikan Tempoh Menghantar Permohonan Pengeluaran Umur 50/55/60 Tahun

 

Selain daripada penambahbaikan di atas, KWSP juga mengumumkan bahawa bermula serta-merta, ahli kini boleh mengemukakan borang permohonan pengeluaran 9B (AHL) untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun, atau Pengeluaran Penuh/Sebahagian Umur 55 Tahun dan 60 Tahun satu (1) bulan sebelum tarikh lahir masing-masing berbanding enam (6) bulan sebelumnya.

 

“Sebelum membuat sebarang pengeluaran, kami menggalakkan ahli untuk mendapatkan nasihat percuma di kaunter Khidmat Nasihat Persaraan di mana-mana 18 cawangan seluruh Malaysia berkenaan jenis-jenis pengeluaran yang terbaik mengikut kehendak mereka,” kata Dato’ Mohd Naim.

 

Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan mengenai perubahan polisi pengeluaran, sila hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-89226000 atau layari laman web KWSP di new.epf.gov.my atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP seluruh negara.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.