Kemaskini terakhir : 13/02/2019 5:38     

KWSP Lanjutkan Tempoh Perkhidmatan Ketua Pegawai Pelaburan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa Lembaga KWSP, dengan kelulusan Kementerian Kewangan, bersetuju untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP sehingga 31 Disember 2019.

 

Dato’ Mohamad Nasir telah menyandang jawatan tersebut sejak 15 April 2013 dan dijadualkan bersara pada 14 November 2018. Keputusan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan beliau adalah bagi memastikan kesinambungan di bahagian Pelaburan KWSP di samping membolehkan pelan pengambihalihan yang lancar.

 

Kerjaya Dato’ Mohamad Nasir di KWSP bermula pada 1982 di mana beliau telah memegang beberapa jawatan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bahagian Pelaburan. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Penguatkuasa Negeri (1990-1995), Pegawai Penyelidik Kanan, Pengurus dan Pengurus Kanan di Jabatan Penyelidikan Pelaburan dan Ekonomi (1995-2003) dan Pengurus Besar di Jabatan Pelaburan Ekuiti Antarabangsa (2009-2013).

 

Dato’ Mohamad Nasir juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Plantation Berhad, PLUS Malaysia Berhad, Yinson Holdings Berhad, BBCC Development Sdn Bhd, Projek Battersea Company Limited dan Yarra Park City Pty Ltd.

 

Beliau mempunyai kelulusan Sarjana Muda Sains Sosial (Ekonomi) dari Universiti Sains Malaysia dan mendapat Diploma Perakaunan dan Kewangan dari Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun pada tahun 1996. Beliau juga memiliki Sarjana Sains dalam Analisis Pelaburan dari Universiti Stirling, United Kingdom (1999).

 

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 12 November 2018