Kemaskini terakhir : 15/03/2019 2:39     

Menipu Pengeluaran - 17 Ahli KWSP Disabit Kesalahan Oleh Mahkamah Pada S4 2010

Berikutan tindakan tegas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencegah aktiviti penipuan, seramai 17 ahli disabit kesalahan oleh mahkamah pada suku tahun keempat 2010 (S4) kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran.

 

Semua 17 ahli didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman denda oleh mahkamah di mana 12 daripada mereka berkemungkinan menghadapi hukuman penjara sehingga enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “Hukuman yang dijatuhi adalah bukti keazaman KWSP untuk melindungi keselamatan simpanan persaraan ahli. KWSP mengamalkan polisi toleransi sifar terhadap sebarang bentuk penipuan dan ahli dijamin bahawa KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat dalam aktiviti penipuan ini.”

 

Di antara Januari dan Disember 2010, sebanyak 74 saman mahkamah telah difailkan terhadap ahli KWSP yang terlibat dengan penipuan di bawah pengeluaran perumahan, hilang upaya dan pendidikan.

 

Pada tempoh yang sama, seramai 56 ahli telah didapati bersalah membuat penipuan pengeluaran sementara 61 kes lagi sedang dalam proses tindakan mahkamah.

 

Di bawah Akta KWSP 1991, mereka yang didapati bersalah melakukan penipuan, atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Mereka yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkan selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

Nik Affendi juga menasihati ahli supaya berhati-hati terhadap individu atau sindiket yang cuba mempengaruhi mereka untuk mengeluarkan simpanan secara tidak sah dan sekiranya ini berlaku ahli perlu melaporkan segera kepada KWSP atau polis.

 

“KWSP menggesa ahli agar dapat memberikan kerjasama dalam memerangi aktiviti penipuan pengeluaran ini. Ahli yang ingin melaporkan kejadian penipuan boleh menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat,” kata beliau.



Pada masa yang sama, ahli juga diingatkan supaya berurusan terus dengan KWSP jika ingin membuat sebarang permohonan pengeluaran.

 

“Ahli dinasihati supaya tidak berurusan dengan pihak ketiga kerana proses pengeluaran KWSP adalah mudah jika semua syarat dipenuhi. Pegawai KWSP sentiasa bersedia untuk membantu ahli dan yang lebih penting perkhidmatan yang ditawarkan adalah percuma,” kata Nik Affendi.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.