Kemaskini terakhir : 26/06/2020 7:22     

KWSP: PENGELUARAN PENUH KEKAL UMUR 55 TAHUN

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil maklum cadangan Bank Dunia untuk menaikkan had umur ahli bagi membuat pengeluaran penuh simpanan dalam Akaun 1 dan 2 KWSP daripada umur 55 kepada 65 tahun secara berperingkat.

KWSP ingin memaklumkan kepada ahli bahawa pada ketika ini tiada sebarang perbincangan diadakan dengan mana-mana pihak untuk menaikkan had umur bagi pengeluaran tersebut. KWSP juga menekankan bahawa ia sentiasa mengambil langkah secara berhemat dalam menetapkan sebarang polisi penting, termasuk menjalankan kajian mendalam dan mengadakan rundingan bersama ahli serta pihak berkepentingan lain. Langkah ini bertujuan memastikan kepentingan ahli sentiasa dilindungi dalam melaksanakan mandat KWSP.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

26 Jun 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.