Kemaskini terakhir : 18/06/2021 10:07     

KWSP MANFAATKAN DIGITALISASI DENGAN PELANCARAN e-PAYROLL BAGI MEMPERMUDAHKAN URUSAN PKS

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelancaran e-Payroll, yang merupakan penambahbaikan terhadap portal i-Akaun (Majikan), bagi membantu dan mempermudahkan urusan-urusan tanggungjawab berkanun majikan, termasuk caruman KWSP, secara digital.

Sistem e-Payroll KWSP memberikan pengalaman yang selamat dan lancar untuk majikan, dengan penekanan terhadap pengiraan automatik bagi pemotongan dan caruman berkanun kepada badan-badan berkanun. Inisiatif ini adalah sejajar dengan objektif KWSP untuk membantu majikan, khususnya perusahaan kecil sederhana (PKS), memenuhi tanggungjawab merek terhadap pekerja, di samping melancarkan operasi syarikat.

Perkhidmatan ini juga dapat membantu majikan menyimpan rekod pekerja mereka secara digital, termasuk gaji. Dengan ini, e-Payroll dapat meningkatkan kecekapan proses dengan mengurangkan masa yang diperlukan untuk menguruskan aktiviti-aktiviti yang berkaitan kewajipan berkanun.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata: “Kami sedar akan peranan digitalisasi yang semakin penting dalam kehidupan kita, malah situasi pandemik COVID-19 telah mendorong kita untuk mengadaptasi teknologi digital dengan pantas dan lebih tepat. Di KWSP, kepentingan ahli sentiasa diutamakan dalam setiap pendekatan yang kami ambil, di samping inisiatif berterusan dalam meningkatkan tahap perkhidmatan yang memberi manfaat kepada majikan dan pekerja.”

“Perkhidmatan e-Payroll ini dibangunkan khas untuk membantu PKS yang menggunakan i-Akaun (Majikan) yang tidak mempunyai sistem penggajian atau kemampuan kewangan untuk menggunakannya,” tambahnya.

Sistem e-Payroll ini dibangunkan dengan kerjasama dan diperakui oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp). Kerjasama erat ini akan memastikan keperluan undang-undang kekal tepat dan terkini dalam sistem e-Payroll.

Sistem e-Payroll ini telah diterima dengan baik oleh 600 PKS yang telah mendaftar dalam tempoh perintis dan semasa soft launch baru-baru ini.

"KWSP terus berkembang untuk kekal relevan dalam era kemajuan teknologi yang pesat serta perubahan yang dinamik dalam lanskap pekerjaan. Digitalisasi akan memastikan kami memberi perkhidmatan yang berkualiti tinggi, di samping memenuhi ekspektasi ahli dan majikan,” tambah Tan Sri Ahmad Badri.


Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
18 Jun 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.