Kemaskini terakhir : 25/02/2019 4:46     

KWSP Anjur Persidangan Ekuiti Persendirian Antarabangsa 2018

KUALA LUMPUR, 26 September 2018: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menganjurkan Persidangan Ekuiti Persendirian Antarabangsa 2018, yang menampilkan lapan penceramah dari firma ekuti persendirian dan usahawan terkemuka dunia, membincangkan tema utama berkaitan pelaburan ekuti persendirian, termasuk pelaburan pertumbuhan, penilaian dan peningkatan berterusan dalam bidang teknologi digital dan kecerdasan buatan (artificial intelligence).

 

Semasa merasmikan persidangan tersebut, Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Pasaran ekuiti persendirian di Malaysia masih berada di peringkat awal. Pelabur institusi tempatan, termasuk KWSP, telah memainkan peranan lebih aktif dalam pelaburan ekuiti persendirian berikutan keupayaan kelas aset tersebut dalam menjana pulangan jangka panjang yang baik. Ekuiti persendirian juga berpotensi untuk mengatasi kelas aset lain semasa kitaran ekonomi tertentu.

 

“Ekuiti persendirian kekal di minda para pelabur semasa mempertimbangkan potensi pertumbuhan besar di Asia. Kami berharap persidangan ini menyediakan suatu platform yang baik untuk terus membangun dan mempromosikan ekosistem ekuiti persendirian di rantau Asia Tenggara.” 

 

Peruntukan ekuiti persendirian KWSP semasa adalah dua (2) peratus daripada Alokasi Aset Strategik dan disasarkan untuk meningkat kepada lebih daripada tiga (3) peratus dalam masa 10 tahun akan datang.

 

Berikutan peranan teknologi yang semakin penting dalam kehidupan seharian serta peluang pelaburan, Tan Sri Samsudin berkata KWSP telah memasukkan mandat Teknologi dalam program pelaburan ekuiti persendiriannya.

 

“Sasaran strategik kami adalah untuk mengisytiharkan sekurang-kurangnya dua (2) peratus dividen sebenar bagi purata tiga tahun bergerak, dan kami yakin mandat baru ini mampu memberikan pulangan yang selaras dengan risiko selain menepati sasaran lindung nilai inflasi kami,” kata Tan Sri Samsudin.

 

Beliau menambah bahawa Persidangan Ekuiti Persendirian Antarabangsa KWSP merupakan saluran yang baik bagi mengetengahkan potensi pasaran ekuiti persendirian sebagai sumber pulangan unggul serta segmen pasaran yang mampu meyumbang secara ketara kepada pembangunan ekonomi ASEAN, terutamanya Malaysia.

 

Antara barisan penceramah di persidangan tersebut adalah Henry R. Kravis (Pengerusi Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama KKR); Robert F. Smith (Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Vista Equity Partners); Jeffrey Perlman (Pengarah Urusan dan Ketua Asia Tenggara Warburg Pincus); Kevin Aluwi (Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Pelaburan Go-Jek); Marc Boheim (Pengarah Urusan AIMS Group); Ivan Vercoutere (Pengarah Rakan Kongsi dan Ketua Pegawai Pelaburan LGT Capital Partners); En Lee (Rakan Kongsi dan Ketua Asia Pasifik LGT Impact); dan Xu Bing (Pengasas Bersama SenseTime).

 

Lebih daripada 400 peserta menghadiri persidangan tersebut, mewakili pemimpin antarabangsa dan serantau dari bidang ekuiti persendirian, rakan kongsi, pelabur, penasihat dan perunding. Persidangan Ekuiti Persendirian Antarabangsa KWSP 2018 dianjurkan bersama LGT Capital Partners, Goldman Sachs Asset Management, dan Crescent Capital Partners.

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.